LRT Ampang: Pembida Terendah Tidak Patuhi Syarat Kontrak

Diterbitkan: Khamis, 27 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempertimbangkan pembida yang menawarkan harga yang lebih rendah daripada konsortium George Kent-Lion Pacific (GKLP) bagi projek penyambungan landasan transit laju ringan (LRT) Ampang bernilai RM1.084 bilion kerana syarikat itu tidak mematuhi syarat kontrak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berdasarkan penilaian, GKLP didapati lulus penilaian teknikal selain menawarkan harga kedua terendah dalam kalangan lapan pembida yang mengemukakan tender.

"GKLP merupakan gabungan syarikat tempatan yang berkeupayaan dari segi kewangan dan tersenarai di Bursa Malaysia.

"Pembida yang menawarkan harga lebih rendah daripada GKLP tidak dipertimbangkan kerana didapati tidak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat kontrak," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) yang ingin mengetahui mengapa GKLP ditawarkan kontrak berkenaan walaupun mengemukakan tender yang lebih mahal.

Pua turut mempersoalkan kredibiliti GKLP yang didakwa tidak mempunyai pengalaman dalam sektor rel.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, andaian bahawa GKLP tidak mempunyai pengalaman dalam sektor rel adalah tidak tepat kerana syarikat itu mempunyai kepakaran dalam bidang sub-sistem rel termasuk kerja-kerja bagi sistem Penyeliaan dan Pengumpulan Data (Scada).

Selain itu menurut Najib, GKLP juga mempunyai pengalaman pemasangan landasan keretapi termasuk landasan konduktor kuasa, sistem komunikasi dan pelindung kilat.

Dalam pada itu Najib berkata, semua pembida yang tidak berjaya mendapatkan kontrak penyambungan landasan LRT Ampang itu akur dengan keputusan kementerian kerana menyedari penilaian menyeluruh dibuat dari aspek teknikal dam komersial.

"Setelah kontrak tersebut dianugerahkan secara telus dan terbuka, pembida-pembida yang tidak berjaya menerima keputusan tersebut.

"Sehingga kini tiada pembida yang membangkitkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pihak kementerian mengenai penganugerahan kontrak tersebut," katanya.

Selain GKLP, pembida lain adalah konsortium Invensys-Balfour Beatty Rail-Ingress, kumpulan Posco-Sojitz-Daewoo International-Thales, Colas-CMC Engineering-Thales, Samsung-LG-Thales, SNC Lavalin-WW Engineering-Bombardier, Siemens-Scomi Engineering dan Ansaldo-Emrail-Leighton.

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan