Belanjawan PR Idea Tiruan & Bersifat Populis - Khairy

Diterbitkan: Khamis, 27 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin kerajaan menyifatkan belanjawan pakatan pembangkang yang dibentangkan semalam adalah idea tiruan yang sudah dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan lebih bersifat populis untuk menarik perhatian rakyat.

Rata-rata berpendapat belanjawan pembangkang itu lebih bersifat kepada hanya 'janji dimanisi' dan bukan janji ditepati.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata hampir 80 peratus perkara dalam belanjawan itu idea dikitar semula dari buku jingga mereka.

Katanya, sebagai contoh cadangan pembangkang untuk menubuhkan 'National Housing Board' sudah dibuat oleh kerajaan terlebih dahulu melalui Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Bercakap pada sidang media BN Youth Job Fair 2012 di sini hari ini, Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata pembangkang perlu menjelaskan bagaimana mereka ingin membiayai belanjawan alternatif terbabit, yang dianggarkan berjumlah RM200 bilion, sedangkan mereka ingin menghapuskan tol dan duti eksais serta menurunkan harga minyak.

Belanjawan pakatan pembangkang yang dibentangkan ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim itu antara lain menggariskan beberapa langkah yang kononnya boleh membantu rakyat.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan belanjawan yang dibentangkan pakatan pembangkang itu disediakan secara 'ad hoc' kerana ia bukan dilakukan kabinet bayangan mereka.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata belanjawan pakatan pembangkang itu dilihat tidak memberi manfaat kepada rakyat berpendapatan rendah dan lebih bersifat kepada hanya "janji dimanisi".

"Misalnya dalam belanjawan pembangkang ada mengatakan akan menghapuskan duti import kereta yang mana jika dilihat kerajaan akan hilang hasil sebanyak RM8 bilion dan juga dia kata hendak menghapuskan tol secara terpilih menyebabkan kerajaan akan hilang hasil RM6 bilion," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan khas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil St Joseph Sentul di sini, Khamis.

"Tapi dia tidak bagi tahu cara lain untuk menggantikan hasil yang hilang ini, dia tidak jelaskan yang dia hanya sebut adalah untuk memastikan tidak berlaku rasuah bagi menggantikan hasil yang hilang, ini cakap kosong sahaja. Ini dikatakan seperti janji dimanisi pakatan pembangkang, berlainan dengan kita janji ditepati" katanya. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir pula berkata industri automotif negara akan 'bungkus' jika cadangan pembangkang untuk menurunkan harga kereta dan duti eksais kereta dilaksanakan sekiranya mereka memerintah negara.

"Jika mereka mampu buat sekalipun, jumlah (penurunan harga) terlalu kecil, tiada langsung penjimatan (daripada penurunan itu) yang boleh membantu pendapatan seisi keluarga.

"Jadi kalau hendak hapus duti eksais, belum tentu dapat jamin harga kereta turun kerana ianya melibatkan industri automotif negara yang melibatkan kos sebuah kereta, kos pengeluaran, kos pemasangan dan kos lain.

"Tanpa industri ini, kita terpaksa mengimport pelbagai benda, jadi duit kita pun kena keluar, tidak kekal dalam negara," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen .

Jelasnya industri automotif negara melibatkan aktiviti membekalkan komponen kenderaan selain tenaga mahir tempatan dan beliau yakin pembangkang tidak sedar perkara ini. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata idea pembangkang untuk memberikan hak sama rata kepada semua rakyat adalah satu lagi janji kosong dan bersifat populis.

"Kita (kerajaan) sekarang pun sudah berikan hak sama rata kepada semua masyarakat dan sentiasa membuat penambahbaikan. Ini agenda populis mereka yang konon nak buat hak sama rata tapi saya fikir ini agenda menipu rakyat," katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata bajet ini adalah taktik pembangkang untuk mengalihkan perhatian daripada pembentangan Belanjawan 2013 kerajaan.

"Pertama, ini adalah retorik sebab hampir pilihan raya dan cuba dapatkan tumpuan rakyat. Kedua mereka mahukan rakyat tahu pasal belanjawan mereka sebab mereka sedar kesemua media akan beri tumpuan kepada belanjawan nasional, jadi mereka cuba. Jadi belanjawan mereka ini hendak curi dan alih tumpuan," katanya.

Di KOTA BAHARU, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata belanjawan pembangkang itu tidak lebih daripada gimik politik untuk menunjuk-nunjuk semata-mata kerana pembangkang tidak berkeupayaan untuk melaksanakannya.

Sebaliknya belanjawan yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok bukan belanjawan BN sebaliknya belanjawan kerajaan untuk semua rakyat, katanya kepada pemberita selepas Majlis Kasihi Wanita Pekebun Kecil Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan, Panji di Kota Baharu, .

Mohd Fatmi yakin belanjawan yang akan diumumkan esok oleh Najib akan memberikan kebaikan kepada seluruh rakyat seperti mana belanjawan yang diumumkan pada tahun-tahun sebelumnya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan