Kerajaan Bayar Wang Ehsan RM21,000 Kepada Keluarga Mendiang Tamilarasi

Diterbitkan: Rabu, 26 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan membayar wang ehsan berjumlah RM21,000 kepada keluarga mendiang A.Tamilarasi, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang meninggal dunia semasa menjalani latihan di sebuah kem di Port Dickson Februari tahun lepas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemberian wang ehsan itu meliputi kos rawatan ketika mendiang koma di hospital, kos perbelanjaan ibu bapa bernilai RM9,000 dan pampasan sebanyak RM12,000 selepas mendiang meninggal dunia.

"Kita berasa simpati dengan kematian mendiang justeru kerajaan telah menyampaikan pemberian wang ehsan kepada keluarga mangsa dan ia telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang menyatakan adakah kajian semula dibuat berkenaan bayaran pampasan kepada keluarga mendiang Tamilarasi.

Tamilarasi, 19 tahun koma selepas demam semasa menjalani latihan khidmat negara di sebuah kem di Port Dickson pada Februari tahun lepas telah meninggal dunia.

Tamilarasi, yang ditempatkan di hospital selama lebih dari setahun, berada dalam keadaan semi-koma dan bergantung pada ventilator untuk membantu pernafasannya.

Doktor yang gagal untuk mendiagnosis penyakit itu berkata peluang pemulihan amat tipis.

Tamilarasi mendaftar di Kem Khidmat Negara PDS Resort di Pasir Panjang, Port Dickson, pada 2 Januari 2010 tetapi jatuh sakit selepas dua minggu di kem berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, setiap pelatih PLKN dilindungi skim insurans tiga hari sebelum mereka mendaftarkan diri di kem PLKN dan seminggu selepas tamat latihan.

"Namun dalam kes Tamilarasi walaupun mendiang meninggal dunia setahun selepas tamat latihan kita tetap menggunakan kuasa budi bicara dengan memberikan wang ehsan kepada keluargannya," katanya.

Justeru, bagi meningkatkan tahap keselamatan pelatih terdapat lapan langkah yang telah diambil untuk menaik taraf modul dan tatacara latihan PLKN.

Antaranya adalah:

1) Semakan prasana dan pembaharuan sijil keselamatan dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pada setiap tahun.

2) Pemeriksaan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh tiga bulan sepanjang latihan.

3) Sistem pemantauan penyediaan makanan yang dijalankan setiap hari.

4) Pasukan perubatan yang terdiri daripada lima orang ditempatkan di setiap kem PLKN.

5) Senarai penyakit yang diberi pengecualian oleh doktor sebagai contoh penyakit asma dan serangan jantung.

6) Potensi dan tatacara jurulatih ditingkatkan untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang kemalangan.

7) Kursus bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

8) Taklimat tatacara keselamatan lepada jurulatih dan pelatih.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan