Pengundian Pilihan Raya Kampus UPM Berjalan Lancar

Diterbitkan: Selasa, 25 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Pelajar UPM sedang membuang undi menggunakan e-undi pada pilihan raya kampus yang berlangsung pada Selasa. Foto THE STAR: RAYMOND OOI.
Pelajar UPM sedang membuang undi menggunakan e-undi pada pilihan raya kampus yang berlangsung pada Selasa. Foto THE STAR: RAYMOND OOI.

SERDANG: Proses pengundian pilihan raya kampus di Universiti Putra Malaysia berjalan lancar dengan 25,0006 pelajar memilih 47 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2012/13.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP 2012, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata sesi pembuangan undi di enam lokasi bermula pada pukul 9 pagi hingga 4 petang di kampus Serdang dan kampus Bintulu, Sarawak dengan menggunakan sistem e-undi.

"Seramai 23 calon bertanding merebut 11 wakil kawasan Umum dan 62 calon merebut wakil kawasan Fakulti, menjadikan jumlah keseluruhan 47 wakil untuk UPM.

"Hanya 2 wakil yang akan terpilih mewakili setiap Fakulti dan Sekolah Pengajian Siswazah UPM," katanya kepada pemberita pada sidang media di pusat pembuangan undi di Kolej 13 UPM pada Selasa.

Menurutnya, seramai lapan calon bertanding bagi kawasan Fakulti iaitu Guslia Lahasing dan Muhammad Zaharul Asyraf Zaharin (Fakulti Sains); Puteri Aminah Megat Ibrahim dan Maizatul Aida Mohd Jamil (Fakulti Sains dan Teknologi Makanan); Muhammad Azhar Omar dan Abdul Hadi Samsi (Sekolah Pengajian Siswazah) dan Tengku Zaihiera Tengku Zainol Rashid dan Siti Hajar Wajihah Abdullah (Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan).

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) berkata calon kawasan Fakulti yang teramai adalah Fakulti Ekologi Manusia seramai enam pelajar, Fakutli Pertanian dan Fakulti Pengajian Pendidikan (lima calon), lima Fakulti (setiap satu empat calon) dan enam fakulti (setiap satu tiha calon).

Prof Fauzi berkata, keputusan dijangka akan diumumkan pada pukul 6 petang hari ini dan diikuti sesi bantahan terhadap keputusan pemilihan MPP pada Rabu.

"Keputusan bantahan pada 27 September, rayuan terhadap keputusan bantahan pada 28 September, keputusan terhadap rayuan pada 30 September sebelum pengisytiharan rasmi calon yang menang pada 1 Oktober," katanya.

Beliau berkata, calon yang berjaya akan diisytiharkan secara rasmi melalui Papan Notis Rasmi Universiti (Kolej 12 dan Kolej Sri Rajang) dan tempat lain sekitar universiti yang mudah dilihat.

"Semua calon, proses rayuan dan proses bantahan tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Universiti Putra Malaysia (Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar) 2011. Calon yang berjaya di dalam Pemilihan MPP akan membentuk MPP2012," katanya.

Sementara itu, calon Bebas bagi kawasan umum, Juliana Zulkafli berkata, dia mahu memperjuangkan penggunaan polistrina sifar di kampus berkenaan.

"Moto kempen saya, 'Think positive, be positive and stay positive'. Saya mahu mahasiswa di UPM mengurangkan penggunaan bahan polistrina kerana ia dapat menyelamatkan alam sekitar.

"Ini secara tidak langsung dapat menjamin alam sekitar yang lebih sihat dan bersih," kata pelajar tahun akhir jurusan Sains Bioteknologi ini.

Ahmad Mesier calon Siswa Penggerak Aspirasi (SPA) pula, dia menjangkakan calon Bebas bakal menjadi penentu siapa yang akan menguasai barisan MPP 2012.

"Tahun ini saya lihat pro Mahasiswa tidak ada. Ada tiga kelompok pada pemilihan kali ini. Iaitu Pro-Aspirasi, SPA dan calon Bebas.

"Dengan pecahan kepada tiga kumpulan ini. Calon Bebas akan jadi penentu dalam menentukan kelompok mana yang bakal menguasai pemilihan MPP 2012 di UPM," kata pelajar jurusan Perhutanan tahun akhir ini.

Bagi calon Fakulti Sains Komputer, Ong Beng Liang, dia memperjuangkan harga makanan yang berpatutan di kafe-kafe sekitar kampus UPM.

"Saya lihat makanan yang dijual di sekitar kampus agak mahal dan ini membebankan para pelajar.

"Jika saya menang saya akan perjuangkan agar pengusaha kafe di sekitar kampus menurunkan harga makanan yang dijual," katanya.

Dalam pada itu, mahasiswa yang ditemui mengharapkan calon yang bakal terpilih sebagai MPP dan wakil mereka akan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

Bagi pelajar tahun akhir jurusan Ekologi Manusia, Ahmad Hussaini Azizi dia berharap mereka yang terpilih dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin serta melaksanakan manifesto yang telah dijadikan modal sepanjang tempoh berkempen.

"Jangan hanya mengejar nama dan pangkat, adalah lebih baik mereka yang menang jalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

"Tidak salah untuk berpolitik namun perlu ada batasnya. Adalah lebih baik memperjuangkan hak mahasiswa bukan mengamalkan sikap menyokong parti politik tertentu sehingga ia menjadi sentimen yang memecah belahkan mahasiswa di sini," katanya.

Pelajar tahun pertama jurusan Kesusasteraan Melayu, Intan Sapee pula melahirkan rasa terujanya yang pertama kali mengundi pada pilihan raya kampus.

"Saya berasa amat teruja ini pertama kali saya mengundi. Saya harap calon yang menang akan melihat kepada masalah pelajar terutamanya menyediakan perkhidmatan bas daripada kolej kediaman terus ke fakulti," katanya.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan