Lebih Banyak Dasar Diperkenal Untuk Kawal Harga Rumah - Chor

Diterbitkan: Selasa, 25 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperkenalkan lebih banyak dasar yang bersesuaian sekiranya perlu, untuk mengawal harga rumah agar semua rakyat mampu memiliki rumah sendiri.

Menteri berkenaan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata kerajaan sememangnya sedar mengenai peningkatan harga rumah secara mendadak terutama di kawasan Lembah Klang dan beberapa bandar besar di Johor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata faktor-faktor yang menyumbang kepada trend peningkatan ialah wujudnya permintaan dan penawaran pada harga yang tinggi, kos tanah dan harga bahan binaan yang meningkat, serta ketersediaan kemudahan dan perkhidmatan di satu-satu tempat.

"Sebagai kerajaan yang mendahulukan rakyat, pelbagai langkah telah dilakukan bagi memastikan setiap rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana mampu memiliki tempat tinggal yang selesa," katanya ketika menjawab soalan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Tengku Razaleigh ingin tahu sama ada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedar harga rumah yang ditawarkan oleh pemaju kepada rakyat sekitar Lembah Klang dan beberapa bandar lain meningkat secara mendadak akhir-akhir ini.

Chor berkata dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan menyasarkan pembinaan sebanyak 161,000 unit rumah mampu milik yang merangkumi 78,000 unit akan dibina oleh kerajaan dan 83,000 unit dibina oleh pemaju swasta.

"Rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan sendiri akan dijual dengan harga RM35,000 seunit manakala rumah-rumah yang dibina oleh pemaju swasta akan dijual dengan harga RM42,000 hingga RM50,400 seunit," katanya.

Chor berkata kerajaan juga telah mengambil beberapa pendekatan dalam menangani cabaran peningkatan harga rumah yang mendadak serta penyediaan tempat tinggal kepada seluruh rakyat Malaysia.

Antaranya ialah menyediakan rumah kos rendah sama ada menerusi program perumahan rakyat atau pembinaan oleh pemaju swasta bagi golongan berpendapatan rendah (kurang RM2,500 sebulan) dan menerusi sebuah agensi kerajaan PR1MA Corporation bagi golongan berpendapatan sederhana (antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan).

"Kerajaan turut menyediakan pinjaman sehingga RM45,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun bagi golongan berpendapatan RM750 hingga RM2,500 untuk membina rumah baru di atas tanah sendiri atau tanah yang dimiliki ahli keluarga terdekat. Kemudahan pinjaman ini secara langsung akan meningkatkan keupayaan rakyat untuk memiliki rumah sendiri," katanya.

Di samping itu, Chor berkata kerajaan turut prihatin dan ingin memastikan agar tidak wujud kegiatan spekulasi yang keterlaluan dalam pasaran hartanah, dengan memperkenalkan semula Cukai Keuntungan Harta Tanah sejak 1 Januari 2010.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga melaksanakan beberapa mekanisme kawalan iaitu melalui pengurangan 'Loan to Value' kepada 70 peratus sahaja bagi pinjaman perumahan untuk pembelian rumah ketiga dan seterusnya.

Tindakan ini akan mengurangkan keupayaan kewangan individu yang terlibat dalam aktiviti spekulator kerana mereka perlu mendahulukan 30 peratus daripada kos harga rumah dengan wang sendiri, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan