Generasi Y Perlu Bijak Pilih Kepimpinan Negara

Diterbitkan: Selasa, 25 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Generasi Y atau golongan muda di Malaysia perlu memberi pertimbangan wajar dalam memilih kepimpinan negara pada pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata kerajaan sedia ada ketika ini sentiasa mengambil pendekatan mendengar dan menerima pandangan golongan itu selain melaksanakan pelbagai program dan memenuhi hasrat mereka.

"Tiada sebab sebenarnya generasi muda menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang semata-mata terpengaruh dengan dakyah dan fitnah pembangkang.

"Generasi muda terutamanya pelajar universiti selalunya dikaitkan sokongan terhadap pembangkang dan trend ini berlaku di hampir semua universiti di seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama masyarakat Benus, dekat sini, Selasa.

Beliau berkata golongan berkenaan perlu bijak serta waras dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang memburukkan kerajaan ketika ini.

Adnan berkata rakyat perlu sedar bahawa sekiranya sesebuah kerajaan gagal dalam membangunkan negara, maka ia akan menjadikan negara dan rakyat itu mundur dalam segala aspek kehidupan.

"Namun apa yang berlaku sekarang kita mengecapi segala nikmat pembangunan, kita harus bersyukur," katanya.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan BN rasuah sedangkan Malaysia diiktiraf sebagai antara negara membangun yang berjaya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan