Perubatan Islam Di Bawah RUU Perubatan Tradisional & Komplementari 2012

Diterbitkan: Isnin, 24 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bersetuju memasukkan amalan perubatan Islam di bawah Rang Undang-undang Tradisional dan Komplementari 2012 selepas perkara itu dipersetujui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua Jabatan Agama Islam Negeri.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata notis pindaan menambah perubatan Islam dalam tafsiran rang undang-undang itu akan diberikan ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Isnin.

"Sebelum ini, kita tidak masukkan perubatan Islam kerana tidak mendapat persetujuan Jakim tetapi sekarang sudah dipersetujui bukan saja Jakim malah Jabatan Agama Islam negeri.

"Selepas ini, pengamal perubatan Islam termasuk bomoh perlu mendaftar menerusi majlis yang akan ditubuhkan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Terdahulu, beliau membentangkan Rang Undang-undang Tradisional dan Komplementari 2012 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Semalam, anggota parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang meminta kementerian itu mengambil kira perubatan Islam dalam rang undang-undang itu kerana perubatan moden dan Islam sama penting, di samping peningkatan pesakit yang beralih kepada kaedah perubatan Islam atau tradisional.

Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), Mohd Fauzi Mustaffa juga melahirkan kebimbangan terhadap kelangsungan amalan itu terhadap masa depan terutama bagi merawat penyakit serta kes sihir yang semakin berleluasa.

Di bawah rang undang-undang itu, Liow berkata pihaknya dengan kerjasama Jakim akan memantau proses pendaftaran pengamal perubatan sama ada Islam, tradisional Melayu, Cina dan India di bawah satu majlis yang akan ditubuhkan.

Katanya pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang mengingkari arahan pendaftaran itu boleh dikenakan denda antara RM30,000 dan RM50,000 atau penjara dua tahun.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Menteri Kesihatan itu berkata hampir 15,000 pengamal perubatan tradisional dan komplementari tidak akan terlepas daripada tindakan tegas sekiranya didapati menipu dan melanggar undang-undang berkenaan. Dalam pada itu, beliau berkata berikutan perkembangan pesat perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia dan antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah merangka strategi yang boleh digunakan dalam membangunkan perubatan tradisional dan komplementari di negara masing-masing.

Katanya Kementerian Kesihatan juga telah melancarkan dasar kebangsaan dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari yang menyatakan bahawa perubatan itu akan wujud bersama dengan perubatan moden dan akan disepadukan dalam sistem penjagaan kesihatan kebangsaan bagi meningkatkan kesejahteraan dan tahap kesihatan rakyat.

"Di Malaysia, permintaan terhadap perubatan ini semakin meningkat dan berkembang pesat dan pada masa sama kementerian menerima banyak aduan dari semasa ke semasa berhubung perubatan ini selain sering digemparkan dengan pelbagai berita dan peristiwa melibatkan pengamal perubatan ini," katanya.

Liow berkata rang Undang-undang Perubatan Tradisional dan Kompelementari 2012 digubal untuk memastikan amalan perubatan yang dijalankan di negara ini adalah selamat dan berkualiti untuk kesejahteraan rakyat.

Setakat ini, 10 hospital kerajaan menjalankan program integrasi menawarkan perubatan moden bersama-sama dengan perubatan tradisional, iaitu Hospital Kepala Batas (Pulau Pinang), Hospital Sultan Ismail (Johor Baharu), Hospital Putrajaya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Duchess of Kent (Sandakan), Hospital Umum (Sarawak), Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar), Hospital Port Dickson, Hospital Sultanah Hajah Kalsom (Cameron Highlands) dan Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (Kota Baharu). -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan