Sesi #TanyaNajib Mengenai Bajet 2013 Secara Dalam Talian 3 Oktober

Diterbitkan: Ahad, 23 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menganjurkan satu lagi sesi #TanyaNajib pada 3 Oktober untuk membolehkan rakyat bertanya mengenai Belanjawan 2013, yang akan dibentangnya di Parlimen Jumaat depan.

"Saya menjemput rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat sama ada dari kawasan bandar mahupun luar bandar, pakar dalam bidang tertentu, para atlet, artis serta warga asing yang tinggal di negara ini untuk sama-sama menyertai sesi #TanyaNajib itu nanti," katanya.

Sesi itu akan bermula pada pukul 9 malam.

Dalam entri terbaru blog 1Malaysia, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pembentangan Belanjawan 2013 dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat mengenainya.

"Atas kesempatan itu, saya ucapkan terima kasih kepada anda semua di atas input yang diberikan dan ini sekali gus membuktikan bajet kali ini dibuat dari rakyat untuk rakyat.

"Oleh sebab itulah, saya mahu terus berinteraksi dengan anda semua bagi mendapatkan maklum balas mengenai bajet itu selepas ia dibentangkan," katanya.

Najib berkata, Belanjawan 2013 dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negara selain membawa impak yang baik kepada masyarakat.

Menyedari hakikat bahawa Belanjawan kali ini akan memberi inisiatif yang sangat besar kepada negara, Perdana Menteri berkata, beliau melihat penganjuran sesi #TanyaNajib kali kedua itu memberi manfaat sangat baik kepada semua.

"Untuk penganjuran sesi #TanyaNajib: Bajet 2013, saya merancang untuk menggunakan platform komunikasi dalam talian secara maksimum.

"Ah Jib Gor, Twitter, Facebook, Google+ dan banyak lagi. Saya akan mengadakannya menerusi akaun Google+ saya selain akan menerima setiap soalan melalui laman media sosial yang lain.

"Sesi kali ini juga boleh ditonton secara langsung menerusi laman YouTube saya. Ikuti saya di Twitter dan Facebook untuk maklumat lanjut tentang bagaimana untuk menyertai sesi berkenaan," katanya.

Najib juga berkata, pada sesi #TanyaNajib yang diadakan pada 11 Januari tahun lepas, beliau menerima reaksi memberangsangkan menerusi Twitter.

"Saya telah menjawab sebahagian daripada soalan anda semua itu menerusi laman YouTube dan ia melibatkan beberapa soalan santai seperti peribadi saya sehinggalah ke soalan serius seperti hal ehwal ekonomi negara," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan