Ramai Siswazah Belum Pasti Mahu Kerja Atau Lanjut Pelajaran - Khaled Nordin

Diterbitkan: Ahad, 23 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai 40,000 siswazah institut pengajian tinggi awam dan swasta yang tamat pengajian tahun lepas, belum bekerja kerana mereka masih berfikir sama ada mahu mencari pekerjaan atau melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kebanyakan mereka juga menamatkan pengajian sebelum memperoleh ijazah masing-masing pada konvokesyen penghujung tahun lepas.

"Sebagai contoh, bagi peperiksaan tahun akhir yang selesai pada Mei atau Jun, keputusannya dikeluarkan tiga bulan kemudian manakala konvokesyen diadakan pula penghujung tahun.

"Berikutan itu, jumlah siswazah yang belum bekerja adalah relevan kerana mereka ini sebenarnya baru tamat pengajian," katanya pada sidang akhbar selepas menutup Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (My3L) Peringkat Kebangsaan dan melancarkan Direktori Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) peringkat nasional sesi 2012/2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Ahad.

Beliau diminta mengulas hasil Kajian Pengesanan Graduan 2011 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi yang mendapati 40,000 siswazah dari 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan 50 institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara tahun lepas.

Terdahulu, Khaled dalam ucapannya berkata kementerian sedang dalam fasa pelaksanaan Pelan Induk Pembudayaan PSH yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak November lepas.

Antara strategi pelan induk itu ialah mewujudkan mekanisme PSH yang mantap, memberi kesedaran kepada rakyat untuk terus belajar, memastikan program-program PSH berkualiti tinggi dan menawarkan insentif kewangan dan bukan kewangan yang diperlukan bagi menyokong usaha-usaha PSH.

"Kami telah menubuhkan Jawatankuasa PSH Kebangsaan untuk mengubal dasar dan menentukan arah tuju PSH di negara ini.

Jawatankuasa Teknikal PSH juga ditubuhkan bagi memastikan agar segala pelan tindakan yang dirancang mencapai objektif yang ditetapkan," katanya.

Beliau turut mencadangkan majikan-majikan supaya menggalakkan pekerja menyertai program PSH yang diadakan di hampir semua IPT di seluruh negara bagi meningkatkan prestasi pekerjaan mereka.

"Majikan-majikan terutamanya dalam sektor swasta mungkin boleh memberi insentif kepada mereka untuk terus belajar bagi menggalakkan mereka menyertai PSH," katanya.

Karnival My3L bertema 'Belajarlah Tanpa Henti' anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dikunjungi kira-kira 50,000 pengunjung sejak Sabtu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan