PM Terima Kunjungan Hormat Jawatankuasa RCI Siasat Pendatang Asing Di Sabah

Diterbitkan: Sabtu, 22 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Anggota Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat mengenai kebanjiran pendatang asing di Sabah (gambar atas dari kiri) Pengerusinya, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, Setiausaha, Datuk Saripuddin Kassim, Datuk K.Y Mustafa. (Gambar bawah dari kiri) Tan Sri Herman Luping, Datuk Henry Chin Poy-Wu, Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon. -fotoBERNAMA
Anggota Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat mengenai kebanjiran pendatang asing di Sabah (gambar atas dari kiri) Pengerusinya, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, Setiausaha, Datuk Saripuddin Kassim, Datuk K.Y Mustafa. (Gambar bawah dari kiri) Tan Sri Herman Luping, Datuk Henry Chin Poy-Wu, Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat menerima kunjungan hormat pengerusi dan anggota Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini.

Yang hadir ialah Pengerusi suruhanjaya, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan setiausaha RCI iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Saripuddin Kasim.

Yang lain adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman Luping, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk K.Y Mustafa dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyerahkan watikah pelantikan kepada mereka yang disaksikan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, sebelum meneruskan pertemuan selama kira-kira setengah jam bermula 5 petang.

Hadir sama Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Suruhanjaya itu diberi tempoh enam bulan bagi menyiapkan siasatan mengenai kebanjiran pendatang tanpa izin di negeri itu.

Sementara itu, Shim berkata dalam pertemuan itu mereka memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai apa yang dilakukan mereka.

"Saya rasa Perdana Menteri telah menyuarakan pandangannya dan kami mengambil perhatian pandangannya," katanya kepada pemberita selepas pertemuanitu.

Shim berkata RCI sudah memulakan siasatan kes-kes tertentu dan pada masa ini mereka tidak menghadapi masalah dalam melakukan siasatan.

"Kami mempunyai sepasukan pegawai yang efisien untuk menyiasat. Sebaik kami selesai siasatan, kami akan teruskan dengan pendengaran saksi-saksi," katanya.

Menjawab soalan sama ada mereka boleh mengemukakan laporan dalam tempoh enam bulan, beliau berkata mereka akan berusaha sebaik mungkin.

"Sudah pasti di bawah peruntukan (tertentu) kami boleh meminta tempoh lanjutan jika ia tidak dapat diselesaikan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan