Legoland Malaysia Pemangkin Perkembangan Negeri Johor - PM

Diterbitkan: Sabtu, 22 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NUSAJAYA: Legoland Malaysia adalah projek pembangunan utama Iskandar Malaysia yang merupakan pemangkin dan berimpak tinggi yang mampu memacu perkembangan serta meningkatan taraf sosioekonomi negeri Johor, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap semasa majlis pembukaan taman tema itu oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini, Sabtu, beliau berkata ia memberi peluang pekerjaan baru di samping program latihan dan pembangunan tenaga kerja yang dibiayai oleh kerajaan. "Alhamdulillah, pada hari ini berkat usaha semua pihak kita berjaya sampai ke satu tahap lagi. Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang jika tiada usaha untuk mengubahnya. Hari ini kita boleh melihat perkembangan pesat di Iskandar Malaysia," kata beliau.

Menurut Najib, apa yang penting adalah usaha pembangunan ini dijalankan berdasarkan prinsip dan aspirasi untuk menambah dan mencipta nilai serta menjana perkembangan dan kekayaan.

"Ianya akan disampaikan secara terus kepada penerima berkepentingan di Johor khususnya dan Malaysia amnya dan seterusnya inisiatif ini akan dapat dinikmati secara sama rata oleh segenap lapisan masyarakat melalui kemudahan pendidikan bermutu tinggi, peluang pekerjaan dan perniagaan yang memberi nilai tambah serta kualiti kehidupan yang lebih selesa. "Ini adalah asas yang menjadi teras kepada gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan," kata beliau.

Kerajaan juga katanya ingin menyeru Legoland Malaysia agar dapat membuka peluang-peluang perniagaan untuk menggalakkan penglibatan anak-anak tempatan dalam kegiatan ekonomi yang berkaitan.

Perdana Menteri turut berkata pembukaan taman tema itu adalah impian menjadi kenyataan kepada rakyat yang sentiasa mempunyai impian untuk melawat taman tema bertaraf dunia di luar negara.

"Sekarang kita tidak perlu lagi, kerana hari ini kita telah bawakan taman tema Legoland Malaysia ke Iskandar Malaysia. Kita bukan sahaja mahu membawa negara kita ke mata dunia, hari ini kita buktikan, kita juga boleh membawa dunia kepada kita.

"Hiburan sebegini diharap dapat mempertingkatkan kualiti hidup dengan aktiviti berhibur sesama rakan dan keluarga tercinta," katanya.

Pada majlis itu juga, Najib mengumumkan bahawa Legoland Malaysia akan memberi tiket secara percuma yang bernilai RM500,000 (setiap tiket berharga RM110) kepada sekolah-sekolah dan rumah-rumah kebajikan di Johor.

Sejumlah 4,545 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang dipilih daripada 15 sekolah dan tiga rumah kebajikan akan mendapat manfaat daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat berkenaan.

Sultan Ibrahim pada majlis itu menyampaikan tiket percuma kepada tiga pelajar yang mewakili 15 buah sekolah dan tiga pusat anak-anak yatim berkenaan.

Majlis yang dihadiri ribuan orang itu diserikan lagi dengan pertunjukan bunga api.

Turut hadir ialah Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan