Polis Perlu Buka Kertas Siasatan Berhubung Kenyataan Ngeh - Nazri

Diterbitkan: Jumaat, 21 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PADANG RENGAS: Polis perlu membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham di laman twitternya yang mempersoal tindakan umat Islam membantah filem 'Innocence Of Muslims', kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata tindakan Ngeh itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam yang memprotes filem ternyata menghina dan memfitnah Nabi Muhammad SAW.

"Banyak pihak telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan berharap polis akan menyiasat perkara itu.

"Selepas polis membuka kertas siasatan, ia akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara. Peguam Negara yang akan menentukan perkara itu perlu disiasat menurut seksyen mana," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Guru peringkat daerah Kuala Kangsar di sini, Jumaat.

Setakat ini, sebanyak 237 laporan polis dibuat terhadap Ngeh di Perak.

Dalam laman twitternya, Ngeh didakwa mempersoal rancangan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk menganjurkan protes terhadap klip video itu, dan menyatakan sama ada umat Islam menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga mengenai isu itu.

Filem bajet rendah YouTube itu, yang diarah Sam Bacile dari California telah menghina dan memfitnah Nabi Muhammad SAW sehingga mencetuskan protes ganas di seluruh negara Islam.

Mohamed Nazri berkata sudah terlambat untuk Ngeh membuat penjelasan dan meminta maaf kepada umat Islam kerana ketika membuat sebarang kenyataan secara umum, apa yang penting ialah bukan apa yang beliau (Ngeh) fikirkan sebaliknya apa yang orang lain lihat tentang kenyataan itu.

"Saya juga merasa marah dengan tweet (Ngeh)itu. Bagi saya ia adalah satu perkara yang serius," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan