Gesa Bank Negara Bertindak Ke Atas Syarikat Skim Pelaburan Emas - Berita Semasa | mStar

Gesa Bank Negara Bertindak Ke Atas Syarikat Skim Pelaburan Emas

Diterbitkan: Jumaat, 21 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejumlah 37 syarikat skim pelaburan emas didapati tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pengarah Sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Izham Nayan semasa membuat dakwaan tersebut berkata sindiket pelaburan emas hendaklah dipantau lebih rapi serta diambil tindakan segera agar tidak lagi mengambil wang pelaburan secara haram.

"Demi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa kerakusan sindiket penipuan ini, PPIM menggesa BNM mengambil tindakan segera ke atas syarikat pelaburan emas yang tidak berlesen ini.

"Kami berharap sindiket penipuan ini dapat dibendung dan wang pelaburan para pendeposit dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Sementara itu, Pegawai Kerja PPIM, Mohd Mustaffa Hamzah berkata perkara ini boleh mencetuskan pelbagai masalah ekonomi dan sosial yang teruk kepada orang ramai jika tidak dipantau dengan rapi.

"Pihak BNM perlu mengambil tindakan segera kerana ianya bukan sahaja akan menyebabkan pelabur kerugian besar bahkan masalah kepada sistem ekonomi dan sosial negara," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan