Cuaca, Ombak Cabaran Hebat Peserta Ekspedisi 1Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 20 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PELABUHAN KLANG: Lapan anggota Ekspedisi 1Malaysia Julang Jalur Gemilang Sabah-Perlis yang memulakan pelayaran sejauh 4,200 kilometer merentasi Laut China Selatan, menyifatkan keadaan cuaca tidak menentu dan ombak bergelora, antara cabaran hebat dalam perjalanan mereka.

Ketua ekspedisi Azhar Ariffin berkata perkara itu bagaimanapun tidak menghalang semangat beliau dan anggota ekspedisi untuk mengibarkan Jalur Gemilang di perairan negara bermula di Tawau, Sabah 7 September lepas hingga ke destinasi kesembilan hari ini, Pelabuhan Klang.

"Peserta ekspedisi turut menghadapi detik cemas apabila enjin bot yang kita gunakan, Belacak 37, mengalami kerosakan teknikal apabila minyak enjin bercampur air," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelepasan ekspedisi itu di Markas Polis Marin Pelabuhan Klang di sini, Khamis.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Kepolisan/Pencegahan Jenayah) Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman melepaskan ekspedisi itu dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Pinang.

Ekspedisi itu yang dianjurkan sempena sambutan kemerdekaan negara turut membabitkan enam anggota Pasukan Polis Gerakan Marin (PGM) termasuk seorang anggota wanita.

Ekspedisi itu yang bermula di Tawau pada 7 Sept lepas, merentasi lautan ke Sandakan, Kota Kinabalu dan Sarawak sebelum merentasi Laut China Selatan untuk sampai ke lokasi terakhir di Kuala Perlis.

Penganjuran ekspedisi itu dinaungi Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Telekom Malaysia sebagai penaja utama.

Sepanjang perjalanan, anggota ekspedisi singgah di beberapa kampung yang terletak di pesisir pantai, pulau dan sungai bagi mengagih-agihkan Jalur Gemilang kepada penduduk kampung.

Sementara itu, seorang peserta tunggal wanita yang menyertai ekspedisi tersebut, Koperal Ainah Badean, 33, menyifatkan ekspedisi itu sebagai pengalaman yang berguna selain memberi peluang kepadanya untuk menggunakan segala kemahiran yang dimiliki berkaitan ilmu pelayaran.

Memiliki kepakaran dalam bidang navigasi dan bertugas di PGM Sandakan, Sabah, beliau berkata ekspedisi itu amat penting sebagai usaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat selain menghormati Jalur Gemilang. - BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan