Ambil Langkah Berjaga-jaga Kedutaan AS Ditutup

Diterbitkan: Khamis, 20 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat di sini akan ditutup pada 11 pagi esok berikutan rancangan demonstrasi di hadapan bangunan kedutaan itu di Jalan Tun Razak pada Jumaat.

Menurut kenyataan kedutaan itu, urusan rasmi akan bersambung semula seperti biasa pada Isnin ini.

Bagaimanapun, dalam sebarang situasi kecemasan, warga Amerika Syarikat boleh menghubungi pejabat kedutaan pada bila-bila masa melalui talian 03-2168-5000.

Pergerakan Pemuda Umno dn Dewan Pemuda PAS akan mengadakan perhimpunan berasingan bagi membantah penerbitan dan penyiaran filem anti Islam 'Innocence of Muslims' dan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah majalah Perancis Charlie Hebdo.

Perhimpunan Pemuda Umno serta pergerakan sayap pemuda parti komponen Barisan Nasional (BN) dan lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan di perkarangan Masjid Kampung Baru di sini selepas solat Jumaat.

Pada waktu yang sama, Dewan Pemuda PAS pula akan menganjurkan protes di luar perkarangan Kedutaan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, ketika melakukan tinjauan mesra di Pasar Seni di sini, berkata polis telah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan ketika berlangsungnya perhimpunan tersebut. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan