Siasatan SSM Terhadap Suaram Tidak Lengkap, Peguam Negara Arah Siasatan Lanjut

Diterbitkan: Rabu, 19 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara mengarahkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyiasat lebih lanjut akaun dan kesalahan lain yang berkaitan mengikut Akta Syarikat 1965, yang didakwa dilakukan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suara Initiatif Sdn Bhd.

Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah semasa dihubungi pada Rabu mengesahkan bahawa kertas siasatan (IP) yang dikemukakan SSM tidak lengkap untuk Pejabat Peguam Negara merangka pertuduhan.

"Siasatan tidak lengkap dan IP dikembalikan kepada SSM semalam," kata Tun Majid ketika ditanya berhubung laporan media bahawa pertuduhan terhadap Suaram dan syarikat itu dijangka dibawa ke mahkamah, sama ada hari ini atau esok.

Sementara itu, seorang pegawai Bank Negara mengesahkan bahawa siasatan ke atas akaun dan "jejak wang" Suaram dan syarikat itu masih berjalan.

Pegawai itu berkata mereka masih mencari "sumber dana itu dan jejak wang dan transaksi lain yang disyaki", dan Bank Negara juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain bagi mengelak kemungkinan berlaku pertindihan siasatan sebelum mengemukakan IP mereka sendiri kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa SSM dalam siasatannya mengesan pelanggaran serius sekurang-kurangnya lima seksyen dalam Akta Syarikat oleh Suaram dan syarikat itu.

Menteri itu mahu siasatan dibuat bagi menentukan sama ada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Amerika yang didakwa menyalur dana Suaram berkaitan dengan penyangak mata wang George Soros.

Ismail Sabri meminta Bank Negara untuk menyiasat perkara itu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan Kementerian Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan untuk menentukan status Suaram. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan