Mohammad Dilantik Presiden Baru Veconac - Berita Semasa | mStar

Mohammad Dilantik Presiden Baru Veconac

Diterbitkan: Isnin, 17 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Mohammad Abdul Ghani dilantik menerajui Gabungan Veteran Tentera Negara Asean (VECONAC) bagi penggal 2012/2014, berkuat kuasa pada Isnin.

Mohammad berkata pelantikannya sebagai presiden baharu VECONAC merupakan satu penghormatan buat PBTM dan Malaysia.

"Sebagai presiden untuk dua tahun akan datang, saya tidak akan membuat perubahan kepada sistem sedia ada VECONAC kerana ia telah dilaksanakan dengan baik oleh bekas presiden Leftenan Jeneral (bersara) Rais Abin dari Indonesia," katanya pada penutupan perhimpunan agung ke-14 VECONAC di sini.

Namun, beliau menyarankan semua negara anggota VECONAC supaya menyumbang idea baharu dalam meningkatkan sistem sedia ada untuk terus ke hadapan.

"Perlembagaan kita adalah untuk meningkatkan kualiti hidup para veteran dan ia hanya boleh dicapai melalui pengesahan kemajuan, kemakmuran, keadilan sosial dan keamanan di rantau kita," katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata perhimpunan agung empat hari bermula Jumaat itu, antara lain membincangkan beberapa perkara untuk meningkat serta merapatkan hubungan ekonomi dengan semua negara Asean.

"VECONAC sentiasa bekerjasama menyelesaikan sesuatu masalah dan secara tidak langsung, kita dapat membantu kerajaan mengekalkan keamanan dan kemakmuran di negara ini melalui kerjasama yang baik dengan negara Asean lain," katanya.

VECONAC, yang ditubuhkan pada 1980, turut menerima dua keanggotaan baharu Lao National Veteran Federation (LNVF) dan Myanmar War Veterans Organization (MWVO) pada perhimpunan itu. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan