Lapan Resolusi Mantapkan Pendidikan

Diterbitkan: Ahad, 16 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Konvensyen Pendidikan Nasional 2012 mengusulkan lapan resolusi untuk dipertimbang sebagai input bagi memantapkan lagi tahap pendidikan negara, termasuk untuk Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Ab Rahim Md Noor berkata resolusi konvensyen anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) itu akan diserah kepada kerajaan setelah didokumentasi dalam tempoh terdekat.

"Konvensyen ini bertujuan untuk memberikan input kepada pihak kerajaan khususnya bagi mentranformasikan tahap pendidikan negara dengan cara penggemblengan idea daripada para pengamal pendidikan, termasuk dari profesor negara.

"Idea serta pandangan dan reaksi yang telah diberi disimpul dalam satu himpunan resolusi bagi membantu kerajaan dalam usaha ke arah menjulang kualiti serta keunggulan pendidikan negara," katanya kepada pemberita pada majlis penutup konvensyen itu di sini, Sabtu.

Ab Rahim berkata jika usul dalam resolusi itu diterima jawatankuasa panel pendidikan, kementeriannya bersama Kementerian Pelajaran akan memantau pelaksanaan tersebut.

Usul itu, yang dibacakan Pengarah Konvensyen Datuk Dr Zakaria Kasa, menyatakan pengurusan pendidikan dan pengajian tinggi di Malaysia menerusi proses kemuafakatan sedia ada amat perlu dipertingkat merentasi sempadan tadbir urus Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi serta melibatkan kementerian lain berdasarkan kerelevanan.

Usul kedua menyatakan pemerkasaan autonomi tadbir urus institusi pendidikan dan pengajian tinggi, dengan garis panduan lengkap, perlu dipercepat bagi membolehkan pengurusan institusi dilaksanakan secara pragmatik dan berkesan untuk menyelesaikan masalah institusional serta cabaran luar jangka.

Ketiga, prinsip meritokrasi dan tindakan afirmatif perlu digabung dalam komposisi dinamis agar jurang keberhasilan pendidikan di kalangan rakyat termasuk golongan berkeperluan khas, yang wujud sejak sekian lama dapat diminimumkan.

Keempat, pemupukan nilai universal perlu dipertingkat dalam kurikulum pendidikan dan pengajian tinggi bagi menjamin semangat patriotisme serta kesetiaan terhadap kepentingan negara dan masyarakat Malaysia.

Kelima, setiap cabang ilmu perlu peka dengan kewujudan piawaian antarabangsa yang relevan, justeru, strategi penggunaan piawaian itu bagi mengukur kualiti kurikulum dan keberhasilan sistem pendidikan negara perlu diperhalusi.

Usul keenam ialah sistem pendidikan negara perlu dinaungi akta dan peraturan yang 'luwes' (mudah disesuaikan) bagi membolehkan institusi pendidikan dan pengajian tinggi melakukan proses merekasarya proses pengajaran dan penaksiran dengan pantas.

Ketujuh, jurang pemisah bidang sains dan teknolongi dengan bidang sains sosial, kemanusiaan dan lain-lain perlu dirapatkan supaya pelbagai cabang ilmu boleh bergerak bebas merentasi garis itu secara bertimbal balik.

Usul terakhir ialah memberi peluang pendidikan yang merata dan saksama kepada komuniti pinggiran dan pedalaman dengan menerapkan komponen ilmu lokal serta budaya komuniti dalam kurikulum pendidikan.

Terdahulu, teks ucapan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang dibacakan Ab Rahim, mengalu-alukan ahli akademik di institusi pengajian tinggi agar dapat terus memainkan peranan masing-masing dengan menyumbang kepada masyarakat dan negara melalui kebijaksanaan ilmu serta pemikiran.

"Adalah wajar MPN dan Institusi Pengajian Tinggi Awam memainkan peranan yang lebih aktif di masa hadapan dengan menganjurkan forum, dialog dan konvensyen seperti ini ke arah usaha mencambahkan idea, dan seterusnya mencorakkan pemikiran rakyat ke tahap yang lebih tinggi," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan