BN Bawa Banyak Perubahan - PM

Diterbitkan: Ahad, 16 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad berkata Malaysia amat mengalu-alukan perubahan tetapi perubahan yang dilakukan secara terancang, tersusun dan sistematik dan bukannya yang bersifat tidak tersusun dan kelam-kabut.

"Kita mahukan perubahan yang boleh membawa perubahan sebenar dan kemajuan sebenar, bukannya yang tidak tersusun dan kelam-kabut," katanya pada majlis pecah tanah universiti terbaharu di Sarawak, Kolej Universiti Teknologi Sarawak di Old Airport Road di sini.

Najib berkata ada pihak tertentu yang menguar-uarkan kononnya mahu membawa perubahan kepada negara ini pada pilihan raya umum akan datang.

"Semua itu semata-mata untuk meraih undi, mereka sanggup menjanjikan matahari dan bulan dan malahan seluruh sistem galaksi kepada orang ramai.

"Tetapi, sebenarnya kerajaan Barisan Nasional yang telah berbuat banyak dalam membawa perubahan, dan malahan penduduk di kawasan luar bandar turut menikmati hasil daripada perubahan itu.

"Kita akan lakukan lebih banyak lagi untuk masa depan kerana ia merupakan proses jangka panjang dan tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa. Kita akan tunaikan apa yang telah kita janjikan," katanya.

Najib berkata kerajaan tidak perlukan mana-mana muka baru atau yang baru muncul untuk membawa perubahan di negara ini.

Beliau berkata di Sarawak, misalnya, kerajaan BN negeri telah melakukannya dengan amat baik kerana wujud kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

"Kerjasama kita berhasil kerana kita datang dari keluarga yang sama dan ini akan memastikan kejayaan kita.

"Kita mahukan lebih banyak pembangunan dan 'penglikun' (keselamatan dalam bahasa Iban) bagi kehidupan yang lebih baik dan selesa untuk rakyat," katanya.

Mengenai pembangunan dalam bidang pendidikan, katanya kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak sebarang permohonan daripada kerajaan negeri untuk mewujudkan lebih banyak universiti dan institusi pengajian tinggi.

"Semasa saya menjadi Menteri Pelajaran, saya meluluskan permintaan daripada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan kerajaan negeri pimpinan beliau untuk mewujudkan kampus cawangan Curtin University di Miri dan kemudiannya Swinburne (University of Technology, Sarawak) di Kuching.

"Kini, pengganti saya Datuk Seri Mohd Khaled Nordin memberikan kelulusan kerajaan bagi penubuhan Kolej Universiti Teknologi Sarawak," katanya.

Najib berkata satu daripada faktor penting kejayaan sesebuah negara atau negeri ialah jumlah penuntut yang diberikan pendidikan berkualiti dan akses sama rata kepada pendidikan.

Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa kerajaan akan terus membangunkan, melabur dan menambah baik sistem pendidikan negara kerana akan sentiasa muncul banyak bidang baharu.

"Kita perlu mempersediakan mereka (rakyat) peluang-peluang kerja yang masih belum wujud," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan