Muhyiddin Kecam Filem Hina Nabi

Diterbitkan: Sabtu, 15 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pad Jumaat mengecam penayangan filem "Innocence of Muslims" yang menghina Nabi Muhammad s.a.w, dan mengarahkan pihak berkuasa tidak membenarkan penayangan filem itu di negara ini.

"Bagi kita orang Islam, kita tidak boleh terima (filem menghina Nabi Muhammad s.a.w). Ia satu kesalahan besar bagi kita. Kita tidak boleh mengizinkan sama ada dalam bentuk filem, perkataan dan apa saja yang menghina Nabi, sesuatu yang kita tolak," katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pengeluaran filem itu adalah "satu perbuatan jahat yang tidak menghormati agama".

Filem itu dihasilkan di Amerika Syarikat oleh pembikin filem keturunan Yahudi Sam Bacile.

Muhyiddin mengulas demikian selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Baharu dan menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat serta sambutan mesra Aidilfitri di sini.

"Saya sendiri secara peribadi, sepatutnya kita ban (filem ini), jangan kita benarkan perbuatan menghina Nabi Muhammad s.a.w ini," katanya.

"Mungkin ada tujuan tertentu yang dilakukan supaya ada pertembungan antara agama, ada pergaduhan, sesuatu yang boleh bawa kesan besar kepada masyarakat dunia," kata beliau.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim berkata penyebaran filem itu merupakan satu taktik pihak tidak bertanggungjawab dalam menggugat akidah umat Islam.

"Sama seperti karikatur kartun yang pernah tersiar sebelum ini, penghasilan dan penyebaran (filem) ini adalah satu perencanaan yang telah diatur, strategi tersusun serangan media kepada agama Islam," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis Aidilfitiri Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). Beliau berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil langkah menyekat penyebaran filem itu melalui You Tube di negara ini, dan ibu bapa dan keluarga memainkan peranan dalam mengawal supaya anak-anak tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif tersebut. Di MARANG, Terengganu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata umat Islam di Malaysia tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik perlu bersatu mengecam pembikinan serta penyebaran filem menghina keperibadian Nabi Muhammad s.a.w itu.

"Saya percaya umat Islam tidak kira siapa atau di mana saja mempunyai 'roh' Islam yang memberi kita semangat untuk bersama berjuang mempertahankan Islam daripada puak-puak yang tidak bertanggangjawab ini," katanya.

"Namun saya ingatkan dalam kita bertindak balas mempertahankan Islam, jangan kita terlajak. Jangan ada sesiapa yang tidak bersalah jadi mangsa atau sampai kita menghina agama orang lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan membantah filem itu yang dihadiri lebih 500 orang berlangsung selepas solat Jumaat di perkarangan Masjid Rusila.

Abdul Hadi meminta kerajaan pusat bertindak tegas dan tidak berkompromi terhadap perkara tersebut.

Sementara itu, Persatuan Al-Amin Negeri Terengganu mahu masyarakat dunia menghentikan penyebaran klip video filem itu.

Setiausahanya Engku Fadzli Hasan Syed Abdullah berkata persatuannya mengecam keras penerbitan dan penyebaran filem itu, tetapi menolak tindakan ganas golongan tertentu terhadap mereka yang tidak bersalah sebagai tindak balas terhadap filem tersebut.

Rabu lepas Kedutaan Amerika Syarikat di Benghazi, Libya diserang beribu-ribu penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan membantah filem itu sehingga menyebabkan Duta Amerika Syarikat, Christopher Stevens dan tiga lagi terbunuh.

Di SIK, Kedah, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penerbit filem tersebut perlu sensitif dan melihat dari sudut kesejahteraan dan keselamatan dunia dan bukan bersikap angkuh dalam menghasilkan filem tersebut.

"Kalau mereka sensitif dan menghormati amalan kaum lain sebagaimana kita hormati kaum Cina dan India di Malaysia, bantahan di serata dunia tidak akan berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Sik.

Sementara itu, pengerusi parti KITA Kedah, Zamil Ibrahim mahu kerajaan menghantar memo bantahan ke Kedutaan Amerika supaya mengambil tindakan tegas terhadap penerbit filem itu.

Dalam pada itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam diketuai oleh Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyerahkan memorandum bantahan di Kedutaan AS di Kuala Lumpur bagi mengecam tindakan warga negaranya menghasilkan filem tersebut.

Pengerusi Pembela Aminuddin Yahya berkata tiga wakil menyerahkan memorandum itu kepada wakil kedutaan tersebut petang ini, setelah NGO berkenaan mengadakan perhimpunan bantahan secara aman selepas solat Jumaat. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan