Putera William, Kate Middleton Tiba Untuk Lawatan Rasmi

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan isteri Catherine tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, bagi memulakan lawatan rasmi empat hari.

Malaysia merupakan destinasi kedua selepas Singapura dalam lawatan selama sembilan hari pasangan diraja itu, ke negara Asia Tenggara dan Asia Pasifik bagi mewakili Ratu Elizabeth II bersempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda.

Ketika pasawat yang membawa pasangan diraja itu mendarat di KLIA pada tengah hari, sekumpulan jurugambar media menunggu dengan sabar di tempat laluan kereta diraja.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 100 wartawan dan jurugambar asing dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Jepun, Jerman, China, Perancis dan Indonesia tiba di negara ini bagi membuat liputan lawatan pasangan diraja itu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Selasa, lawatan itu bukan sahaja menandakan hubungan erat Malaysia dan United Kingdom, malah ia dijangka akan meningkatkan lagi hubungan mesra antara kedua-dua negara.

Pasangan diraja itu kemudiannya diiringi ke Putrajaya bagi mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, sebelum menghadiri majlis makan tengah hari.

Orang ramai yang berkumpul di lapangan terbang turut mengambil kesempatan merakamkan gambar pasangan diraja Britain itu.

Duke dan Duchess of Cambridge juga dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, dan menghadiri majlis santapan diraja di Istana Negara, malam ini.

Sepanjang lawatan ke negara ini, pasangan diraja itu akan melawat Hospis Malaysia, pertubuhan amal yang menawarkan penjagaan paliatif profesional kepada pesakit menghidap penyakit hayat terhad, Taman KLCC dan Lembah Danum, hutan hujan tropika utama, di Sabah.

Mereka dijadual berangkat ke Kepulauan Solomon pada Ahad, untuk meneruskan lawatan.

Lawatan terdahulu Kerabat Diraja Britain:

Februari 1972: Ratu Elizabeth II mengadakan lawatan pertama ke Malaysia bersama suaminya, Putera Philip, Duke of Edinburgh.

Oktober 1989: Ratu Elizabeth II dan Putera Philip berada di Malaysia untuk Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

September 1998: Ratu Elizabeth dan Putera Philip berada di ibu negara untuk majlis penutup Sukan Komanwel Ke-16.

Oktober 1998: Raja Edward dan isterinya, Sophie melawat Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan Britain dan Malaysia.

Oktober 2000: Putera Edward dan Sophie melawat Malaysia.

Mei 2001: Putera Andrew yang juga Duke of York melakukan lawatan kali pertama ke Malaysia.

September 2002: Puteri Alice, Duchess of Gloucester melawat Sekolah Rendah Antarabangsa British Alice Smith di Kuala Lumpur.

Oktober 2011: Putera Andrew tiba untuk lawatan tiga hari sebagai wakil Britain untuk pelaburan dan perdagangan antarabangsa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan