Jakim Pertimbang Lantik Penyedia Pengimbas Status Halal

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbangkan untuk melantik penyedia pengimbas status halal rasmi bagi mengesan keaslian sijil halal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, setakat ini Jakim tidak pernah melantik mana-mana pihak atau ejen untuk mengeluarkan pengimbas sijil halal.

Beliau berkata, ini kerana ia mempunyai kaitan secara langsung dengan pangkalan data elektronik halal.

“Jakim menerima banyak tawaran (daripada pelbagai pihak) untuk mewujudkan aplikasi pengimbas sijil halal tetapi kita perlu memberi perhatian terhadap kerahsiaan dan keselamatan pangkalan data daripada ia mudah diakses oleh syarikat-syarikat,” katanya kepada mStar Online, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perisian yang mampu mengesan penyalahgunaan logo halal Jakim.

Othman berkata, aplikasi yang akan dibina oleh Jakim adalah sistem pengesan yang menggunakan telefon pintar tanpa mengenakan sebarang caj kepada pengguna.

“Ia dilihat sebagai kaedah pengimbas mesra pengguna untuk kegunaan masyarakat,” katanya sambil menambah akan mempertimbangkan mana-mana tawaran yang mampu menyediakan aplikasi dengan selamat dan tidak mengenakan caj kepada pengguna.

Menurut Othman, pemalsuan sijil halal hanya wujud pada tahun 2003 hingga 2005 iaitu sebanyak empat kes yang pernah dilaporkan oleh Jakim kepada polis.

Katanya, sehingga kini, tiada lagi kes pemalsuan sijil halal Jakim tetapi hanya ada yang menggunakan sijil halal swasta serta menggunakan logo tanpa sijil halal.

“Pada masa ini, Jakim mempunyai pengesan dan sistem keselamatan terhadap sijil halal yang terkini, menerusinya terdapat beberapa ciri keselamatan seperti sistem kekunci yang mana penguatkuasa sahaja boleh mengenal pasti ia adalah palsu atau tidak,” katanya.

Media pada Khamis melaporkan Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berjaya membangunkan perisian yang mampu mengesan penyalahgunaan logo halal Jakim.

Menurut Muhammad Zaly, perisian itu membolehkan pemeriksaan status halal dibuat dengan hanya menggunakan telefon pintar yang mempunyai akses internet untuk mengimbas kod bar pada logo halal Jakim.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan