Soi Lek: Chua Tee Yong Layak Berdebat Dengan MB S'gor

Diterbitkan: Khamis, 13 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menolak tanggapan bahawa anaknya Datuk Chua Tee Yong tidak sepadan untuk berdebat dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu penstrukturan semula hutang Talam Corporation Berhad.

Beliau berkata Tee Yong sememangnya layak berdebat dengan Abdul Khalid kerana Tee Yong merupakan Ketua Biro Profesional Muda MCA dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Ketika saya berdebat dengan (Ketua Menteri Pulau Pinang Lim) Guan Eng, adakah saya setaraf (dengan Guan Eng)? Dia (Guan Eng) ialah Ketua Menteri tetapi saya bukan sesiapa.

"Ketika (Barack) Obama berdebat dengan (calon presiden daripada parti Republican) Mitt Romney... dan siapa Mitt Romney? Obama merupakan Presiden Amerika Syarikat," katanya pada sidang media selepas pelancaran 1MCA Skim Mikro-kredit untuk Belia di Wisma MCA di sini, Khamis.

Beliau mengulas ketidakhadiran Menteri Besar Selangor itu untuk berdebat berhubung isu Talam, anjuran MCA di sini, pada Rabu.

Mengenai skim pinjaman 1MCA skim Mikro-kredit, Dr Chua berkata sebanyak 380 permohonan diluluskan melibatkan kos bernilai RM6.4 juta bagi membantu golongan muda menjalankan perniagaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan