Kerajaan Sasar Dua Pertiga Banduan Jalani Pemulihan Di Luar Penjara Pada 2020

Diterbitkan: Rabu, 12 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Kementerian Dalam Negeri mensasarkan dua pertiga daripada jumlah keseluruhan banduan di seluruh negara menjalani program pemulihan di luar tembok penjara pada 2020.

Timbalan Menterinya Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata mereka akan ditempatkan di tempat tertentu seperti pusat-pusat latihan yang membolehkan banduan itu berdikari apabila selesai tempoh penahanan mereka.

"Kita mahu mereka ini diterima baik oleh masyarakat di luar tembok penjara yang apabila keluar nanti mereka boleh berdikari dan tidak lagi kembali ke jalan yang salah.

"Selain itu dengan pengurangan jumlah banduan di penjara, kerajaan akan dapat menjimatkan kos perbelanjaan yang ditanggung selama ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Perantaraan Jabatan Penjara Kelantan di sini, Rabu.

Abu Seman berkata kini terdapat lebih 40,000 banduan di seluruh negara yang mana kerajaan membelanjakan sebanyak RM35 sehari bagi setiap banduan itu.

Beliau berkata ketika ini Jabatan Penjara juga giat mengadakan program pemulihan seperti itu dan mendapati kos pengurusan banduan di seluruh negara kini semakin menurun.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Penjara sama sekali tidak menghalang banduan untuk meneruskan pelajaran dengan menyediakan guru yang disalurkan oleh Kementerian Pelajaran.

"Sebanyak 1,300 banduan telah berjaya mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi lagi," katanya.

Mengulas mengenai Rumah Perantaraan itu, Abu Seman berkata sebanyak 14 buah pusat itu telah didirikan di seluruh negara sejak April tahun lalu.

Katanya seramai 416 orang bekas banduan telah ditempatkan di rumah berkenaan bagi tempoh selama tiga bulan sebaik dibebaskan dari penjara dan daripada jumlah itu 361 daripadanya telahpun kembali ke pangkuan masyarakat.

"Rumah berkenaan adalah tempat untuk mereka yang tidak diterima keluarga dan masyarakat dan ditempatkan sementara sehingga mereka memperolehi pekerjaan dan seterusnya mampu membina sahsiah diri selepas tempoh itu," katanya.

Abu Seman berkata ia sebagai transit sementara untuk mereka kembali berdepan dengan masyarakat dan berharap mereka tidak akan kembali ke penjara lagi.

Turut hadir Ketua Pengarah Penjara Datuk Wira Zulkifli Omar dan Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan