JKM Kedah Lancar Program Bantu Rumah Di 12 Daerah

Diterbitkan: Rabu, 12 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KULIM: Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah (JKM) melancarkan Program Bantu Rumah sejak awal bulan ini dalam usaha membantu warga emas yang tinggal bersendirian dan terlantar di rumah.

Pengarahnya Zulkifly Ramli berkata pada peringkat awal program yang dilancarkan di Langkawi itu, 50 sukarelawan JKM pergi ke rumah-rumah sasaran iaitu warga emas yang tinggal bersendirian dan terbiar serta yang terlantar sakit dan uzur.

"Sukarelawan ini akan membantu golongan warga emas ini untuk membersihkan rumah, pakaian dan mandi serta menyikat rambut mereka supaya kelihatan lebih kemas dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Warga Tua Kebangsaan Peringkat Daerah Kulim di Rumah Warga Tua, Sungai Kob dekat sini, Rabu.

Lebih 300 anggota persatuan warga emas daerah Kulim hadir pada majlis anjuran persatuan tersebut dan JKM daerah Kulim.

Zulkifly berkata setiap daerah diperuntukkan RM5,000 untuk memulakan program tersebut dan setiap daerah dicadangkan menyediakan 50 sukarelawan dalam menjayakan program yang lebih menitikberatkan layanan sukarelawan berkenaan ke atas warga emas yang tidak mahu tinggal di rumah kebajikan.

Katanya warga emas yang terlantar sakit dan tidak dapat bergerak sendiri juga tidak dapat menguruskan diri sendiri akan dibantu sukarelawan yang sebelumnya akan diberi latihan secukupnya dalam mengendalikan kerenah warga emas berkenaan.

Beliau berkata program ini bertujuan untuk mengatasi masalah yang dijangka wujud pada tahun 2016 hingga 2020 apabila jumlah waga emas dijangka meningkat dan persediaan ini amat penting untuk menangani masalah itu kelak.

"Orang ramai kalangan belia dan sebagainya yang benar-benar mahu berbakti kepada negara dan hak-hak kemanusiaan sejagat boleh menghubungi mana-mana JKM daerah untuk didaftarkan sebagai seorang sukarelawan," katanya.

Katanya tugas yang ditawarkan adalah sepenuhnya sukarela dan tiada sebarang bayaran yang akan diberi kepada mereka.

Zulkifly berkata sehingga kini JKM di semua daerah mempunyai 200 warga emas yang perlu diberi layanan sedemikian dan setiap daerah memerlukan sekurang-kurangnya 50 sukarelawan untuk mengendalikan kes-kes tersebut.

"Kita berharap ramai kalangan anggota masyarakat pelbagai kaum di Kedah akan tampil membantu JKM menjayakan program yang benar-benar bersifat sukarela dan perlukan ketahanan fizikal dan minda yang kuat," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan