Jamil Khir: Tranformasi Jiwa Dan Rohani Asas Utama Transformasi

Diterbitkan: Rabu, 12 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Transformasi jiwa dan rohani merupakan asas utama proses transformasi yang perlu dilakukan umat Islam bagi mendepani pelbagai cabaran zaman, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, keseluruhan anjakan paradigma terutama dalam bidang pengurusan inovasi Islam perlu dilakukan.

"Jika kita tidak berubah, kita akan menjadi tidak relevan atau dalam lain perkataan kita akan ketinggalan dalam semua aspek kehidupan.

Transformasi umat Islam dalam diri bukan hanya semata-mata dalam aspek keagamaan tetapi ia meliputi semua aspek sama ada perubahan itu menambah baik taraf kehidupan, ekonomi dan penguasaan ilmu, malah lebih daripada itu," katanya semasa berucap menutup Persidangan Dunia mengenai Pemikiran dan Ketamadunan Islam (WCIT) 2012 di sini, Rabu.

Katanya aspek pengurusan hal ehwal Islam semakin mencabar hari ini berikutan tuntutan,persekitaran dan aspirasi orang ramai yang menuntut kepada kesempurnaan.

Beliau berkata umat Islam perlu berubah berikutan perubahan persekitaran dan tuntutan semasa.

Sementara itu, semasa menyampaikan ucaptama bertajuk 'Sains Moden:Penyesuaian Yang Perlu Umat Islam Lakukan Untuk Mengekalkan Pembangunan Insan dan Persekitaran' bekas Menteri Luar Indonesia Dr Alwi Abdurrahman Shihab berkata dunia Islam yang berdepan dengan pelbagai cabaran masa ini perlu mempunyai pemimpin yang berwawasan yang mampu melihat jauh ke depan.

Pada masa yang sama, pemimpin itu perlu berkemampuan untuk membawa negara ke arah masa depan yang lebih gemilang, katanya.

Katanya tamadun Islam yang hebat sebelum ini dibina atas prinsip dan pemahaman ini dan umat Islam perlu meneroka kemampuan dan keghairahan untuk menimba pengetahuan dan menghasilkan inovasi seperti yang berjaya dilakukan umat Islam sebelum ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan