Rang Undang-Undang Profesion Sains Kesihatan Bersekutu Dipamer Oktober - Liow

Diterbitkan: Selasa, 11 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Draf Rang Undang-undang Profesion Sains Kesihatan Bersekutu yang melibatkan 23 profesion, kini siap dan akan dipamer kepada orang ramai dari 1 hingga 21 Oktober.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rang undang-undang berkenaan, yang sedang dimuktamadkan, akan dipaparkan dalam laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.my selama tiga minggu untuk penglibatan orang ramai, sebelum dibentang di Perlimen awal tahun depan.

"Kami mengambil masa lebih kurang 15 tahun untuk sampai ke peringkat ini dan saya dengan sukacita memaklumkan kepada anda bahawa ia merupakan saat yang amat dinanti-nanti.

"Kami mengalu-alukan maklum balas daripada profesional dan orang ramai serta semua pihak yang prihatin untuk menjadikan penjagaan kesihatan di negara ini berkualiti tinggi dan mencapai taraf dunia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Sains Kesihatan Bersekutu di sini Selasa.

Liow berkata setiap profesion Kesihatan Bersekutu mempunyai keunikan daripada segi latihan serta membantu merapatkan antara penjagaan prima, sekunder dan tinggi bagi pesakit dan masyarakat, yang diberi para petugas perubatan dan kesihatan.

"Kami ingin wujudkan satu akta yang boleh menjamin kualiti perkhidmatan, memantau rawatan yang diberi serta keselamatan pesakit di bawah penjagaan individu yang terlibat dalam profesion ini," katanya.

Beliau berkata 23 profesion yang dikategorikan di bawah Sains Kesihatan Bersekutu terbahagi kepada tiga kumpulan - klinikal (12 profesion), kesihatan awam (empat profesion) dan makmal (tujuh profesion).

"Profesional Kesihatan Bersekutu akan bekerja rapat dengan klinisian dan pasukan pakar kesihatan awam dalam memberi pelbagai jenis penjagaan diagnostik, teknikal, terapeutik serta penjagaan pesakit secara langsung dan tidak langsung," katanya.

Liow berkata profesional kesihatan bersekutu di negara ini berjumlah 40,000 orang dan kira-kira 25,000 daripada mereka bertugas dengan kementerian berkenaan, manakala selebihnya berkhidmat dalam dunia akademik dan dengan sektor swasta.

"Ia sebuah pasukan petugas yang memiliki pelbagai kepakaran dan merupakan aset yang amat berharga dalam kemajuan penjagaan kesihatan di negara ini," katanya.

Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan ditubuhkan pada 2009 untuk memastikan profesion berkenaan berkembang maju secara sistematik, manakala kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatannya kepada orang ramai adalah terjamin.

Persidangan dua hari itu yang bermula semalam, bertemakan "Ke Arah Kesihatan Lebih Baik" dan dihadiri kira-kira 620 peserta dari dalam dan luar negara.

Persidangan dua tahun sekali ini diadakan sejak 1996. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan