PKR Buat Satu Lagi Janji: Mansuh AP Kereta 2015

Diterbitkan: Selasa, 11 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memansuhkan AP (permit import) kereta pada 2015 sekiranya mereka menang pilihan raya umum ke-13.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa, dengan memansuhkan AP kereta, kerajaan akan mendapat keuntungan sekitar RM9 bilion dalam tempoh tiga tahun terakhir sebelum AP dimansuhkan terus.

"Bagi setiap AP ketika ini, negara dan rakyat rugi sehingga RM50,000 kerana jumah itu masuk poket pihak berkepentingan yang mengaut untung besar.

"Jika jumlah AP yang dikeluarkan mencecah 70,000 setiap tahun seperti yang dianggarkan, negara dan rakyat kehilangan sekitar RM3 bilion hingga RM3.5 bilion setiap tahun kerana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) hanya mengenakan caj RM10,000 sahaja ke atas setiap AP apabila ia diagihkan kepada pihak-pihak tertentu tanpa melalui proses tender terbuka," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR, Isnin.

Menurutnya, setiap AP akan menarik bidaan setinggi RM60,000 setiap satu jika dikendalikan secara telus melalui tender terbuka.

"Jumlah RM3 bilion hingga RM3.5 bilion adalah lebih tinggi dalam menentukan sumber kewangan untuk menampung dasar menurunkan harga kereta melalui pemotongan cukai eksais secara berperingkat.

"Ia juga membuktikan kemampuan kerajaan untuk melaksanakan dasar menurunkan harga kereta, jika Barisan Nasional benar-benar serius mendengar desakan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang dilaporkan berkata setiap AP baru bernilai sekitar RM50,000 dan bagaimana harga kereta ingin diturunkan kerana peningkatan AP akan menyebabkan harga kereta akan terus meningkat.

Mukhriz dipetik sebagai berkata pembangkang hanya pandai membuat cadangan tetapi tidak memikirkan bagaimana hendak menjayakan cadangan tersebut dan dari mana hendak dapatkan punca pendapatan untuk menampung semua itu dan ia boleh memufliskan negara.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata kenyataan Mukhriz menggambarkan beliau masih belum faham mekanisme yang boleh digunapakai untuk menurunkan harga kereta kerana terlalu terbawa-bawa dengan pandangan yang berpihak kepada pengedar kereta yang membuat untung berlebihan daripada sistem AP sedia ada.

"PKR mengesyorkan supaya pengedar-pengedar berkepentingan ini bersaing sesama mereka dengan mengurangkan kadar keuntungan demi mendapatkan pelanggan. Apabila harga AP meningkat dan harga kereta mula turun, mereka tidak ada pilihan melainkan mengurangkan kadar keuntungan yang tidak berpatutan yang mereka nikmati selama ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata PKR akan mengadakan forum Turun Harga Kereta pada 13 September ini bertempat di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) bermula pada pukul 8 malam.

Menurutnya, forum tersebut merupakan salah satu siri jelajah yang akan turut diadakan di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching yang akan diadakan pada bulan September dan Oktober ini.

"Forum kali pertama ini akan membariskan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Wan Zaiful Wan Jan dan Rafizi. Ia akan dikendalikan oleh saya selaku moderator.

"Orang ramai dijemput hadir untuk turut sama mendapatkan pelekat kereta dan kemeja T 'turunhargakereta'," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan