Loji Langat 2: Noh Bidas Selangor Kelirukan Rakyat

Diterbitkan: Selasa, 11 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar pada Selasa membidas kerajaan Selangor yang terus mengelirukan rakyat berhubung isu pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

Katanya isu itu tidak ada kaitan dengan urusan pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) oleh kerajaan Selangor seperti yang didakwa seorang exco kerajaan negeri tersebut.

"Itu urusan syarikat, urusan mengambil alih syarikat. Loji Langat 2 ini apa kaitannya dengan urusan pengambilan syarikat? Ia projek yang kerajaan sudah rancang sejak tahun 2000 ketika krisis air di Selangor," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Xavier Jayakumar yang mendakwa pembinaan loji itu tidak akan dapat dilaksanakan selagi kerajaan pusat tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan Selangor dalam urusan mengambil alih Syabas.

Kenyataan Jayakumar itu adalah respons kepada laporan yang memetik Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai berkata, tender pembinaan loji terbabit akan dikeluarkan dalam masa terdekat walaupun tidak mendapat kelulusan perintah pembangunan daripada kerajaan Selangor.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata kerajaan Selangor menerusi pemimpinnya sering kali memberi alasan berbeza setiap kali isu pembinaan loji dibangkitkan.

Loji Air Langat 2 dijangka dapat memastikan lapan juta penduduk di kawasan berkenaan mendapat bekalan air yang mencukupi dan berterusan dari tahun 2014 sehingga 2025 tanpa perlu membina loji rawatan air tambahan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan