13 Rakyat Malaysia Tidak Patuhi Visa Umrah Dihantar Pulang

Diterbitkan: Selasa, 11 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Sekumpulan 13 orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan rakyat Malaysia dihantar pulang ke tanah air dari Arab Saudi pada Selasa, selepas mereka didapati melakukan kesalahan berkaitan peraturan visa.

Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan 300 pelawat dari Malaysia yang memperoleh visa menerusi pakej umrah yang ditawarkan oleh syarikat Destinasia Travels Sdn Bhd, yang berlepas ke Arab Saudi secara berperingkat sejak Julai lepas.

Pengurus Destinasia, Muhd Norzi Md Ghazali berkata 13 orang itu ditahan kerana berada di Arab Saudi melebihi tempoh yang dibenarkan visa, dan siasatan mendapati mereka dipercayai berhasrat untuk tinggal di Arab Saudi selama kira-kira lima tahun untuk 'belajar di sekolah pondok' di sana.

"Tindakan mereka ini menyusahkan pihak kami dari segi masa, tenaga, dan juga wang. Kami akan buat aduan kepada pihak Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta). Untuk tindakan seterusnya saya belum pasti lagi, mungkin laporan kepada pihak imigresen atau polis," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Kumpulan sembilan lelaki dan tiga wanita yang berumur antara 30 dan 70 tahun serta kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun itu tiba di KLIA pada 1.30 tengah hari, namun mereka enggan memberi sebarang komen semasa didekati.

Merujuk kepada kumpulan 300 pelanggan pakej umrah yang ditawarkan Destinasia Muhd Norzi berkata kira-kira 70 orang sahaja daripada mereka yang mematuhi jadual mengikut pakej yang ditawarkan, manakala selebihnya menimbulkan 'beberapa masalah' seperti tidak mengikut jadual atau enggan mematuhi pakej tempat tinggal yang ditetapkan.

Beliau berkata bagaimanapun 13 orang ini merupakan kumpulan terakhir daripada kumpulan 300 visa yang dipohon Destinasia itu, yang terpaksa 'dicari' oleh banyak pihak di Arab Saudi sebelum ditahan untuk dihantar pulang ke tanah air.

Katanya usaha mencari mereka dilakukan oleh muasassah dan mutawif yang dilantik, dan juga pihak berkuasa kementerian Haji Arab Saudi, selepas tempoh visa untuk berada di Arab Saudi tamat Ogos lepas.

Muhd Norzi berkata mengikut amalan biasa visa hanya diberikan selepas pemohon mempunyai tiket perjalanan dua hala, dan tempat tinggal yang sudah ditetapkan, dengan pasport mereka dipegang oleh muasassah yang menanti di Arab Saudi sebaik mereka tiba di sana.

Bagaimanapun menurutnya ramai antara mereka menukar tarikh penerbangan, dan enggan tinggal di tempat yang ditetapkan, dengan harapan sama ada untuk tinggal lebih lama di Arab Saudi, atau terus mengerjakan haji, atau untuk belajar di sekolah pondok di sana.

Katanya tempoh kumpulan 300 visa yang dikeluarkan itu tamat pada 3 Ogos lepas, dan perbuatan mereka yang menyalahi peraturan visa itu membebankan banyak pihak kerana banyak tenaga diperlukan untuk mengesan mereka.

Menurutnya selain memberi kesan terhadap nama baik syarikat, ia turut menjejaskan nama baik negara secara umumnya.

Muhd Norzi berkata usaha membanteras perbuatan ini amat sukar kerana mereka membuat persiapan yang cukup rapi, dan menyasarkan satu demi satu syarikat pelancongan yang menawarkan pakej umrah dalam negara.

Selain itu menurutnya kumpulan ini biasanya mempunyai hubungan dengan pihak-pihak tertentu di Arab Saudi yang membantu dalam usaha mereka mengelak daripada mematuhi peraturan visa umrah.

"Kami sedang buat post-mortem untuk cari siapa ketuanya, saya percaya benda ini bukan dibuat satu atau dua hari dan berbulan-bulan perancangannya, untuk buat perancangan di sana, mereka ada 'contact' di sana," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Kolumnis

iklan

Iklan