Melaka Cadang Tubuh Institut Arkeologi Ala-Rome

Diterbitkan: Isnin, 10 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Melaka, yang kaya dengan khazanah sejarah negara, berminat menubuhkan Institut Arkeologi bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang pemuziuman negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata institut itu akan ditubuhkan dengan bantuan kepakaran dari Rome, Itali dan geran awal sebanyak RM2 juta daripada Tabung Warisan akan diberi untuk menjalankan operasinya.

"Di Malaysia, kita belum ada institut khusus seperti ini untuk melatih tenaga mahir yang boleh menyumbang kepada institusi pemuziuman negara.

"Sudah tiba masanya Melaka menubuhkan institut ini kerana pihak di Rome sedia membantu dan memberi kerjasama kepada kita," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, selepas tinjauan dua jam ke Institute For Conservation and Restoration (ICR) di Rome, semalam.

Beliau berkata pada mulanya institut itu akan dikendalikan sebagai sebuah akademi mengikut contoh ICR dan akan dinaik taraf sebagai institut kemahiran kemudiannya.

Mohd Ali berkata mereka yang terpilih ke akademi itu akan diberi latihan dalam bidang kemahiran dan pertukangan untuk membaiki artifak, lukisan, tembikar dan bahan purba yang kemudian diserahkan kepada muzium untuk dipamerkan kepada umum.

Turut hadir pada lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Datuk Latiff Tamby Chik dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim) Datuk Khamis Abas serta delegasi Melaka yang menyertai lawatan kerja kerajaan negeri ke Milan dan Rome.

Pengarah ICR Giseela Capponi mengiringi lawatan dan memberi penerangan. Lawatan kerja selama lima hari itu diketuai oleh Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob.

Selepas lawatan itu, Khalil dan Mohd Ali menunaikan solat Jumaat di Masjid Besar Rome, satu-satunya masjid yang terdapat di kota bersejarah itu yang boleh menampung kira-kira 12,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Delegasi Melaka kemudian mengadakan lawatan ke Vatican City iaitu kawasan yang menjadi satu daripada tarikan pelancong ke Rome, yang menerima kunjungan kira-kira 20,000 pelancong sehari.

Tarikan utama kawasan warisan itu termasuklah Muzium Vatican yang menyimpan beribu-ribu lukisan dan artifak sejarah.

Pada sebelah petangnya, Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri mengadakan pertemuan dengan Prof Leigh Robinson dari Sekolah Sukan, Universiti Stirling dari Scotland untuk membincangkan potensi mengembangkan kemajuan sukan di negeri Melaka.

Kemudian, Ketua Menteri menghadiri majlis 'product update' pelancongan Melaka yang dianjurkan oleh Tourism Melaka.

Pebelah malamnya, beliau menghadiri majlis sambutan kemerdekaan ke-55 negara dan festival masakan dan kebudayaan Melaka yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Itali dan Bahagian Promosi Pelancongan Melaka. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan