Laporan Kewangan Unisel Tidak Diselaras Sepenuhnya - Abdul Khalid

Diterbitkan: Isnin, 10 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pada Isnin bahawa laporan audit kewangan Universiti Selangor (Unisel) yang menunjukkan kerugian selepas cukai kira-kira RM54.8 juta tidak diselaraskan sepenuhnya.

Abdul Khalid berkata, pihaknya memerlukan masa untuk membentang laporan kewangan universiti itu sebab perlu melalui beberapa proses seperti dibawa ke peringkat Mesyuarat Agung Tahunan dan audit bebas untuk mendapatkan kelulusan.

"Laporan audit memakan masa untuk dibentangkan kerana Kerajaan negeri sedang dalam proses mengambilalih hutang yang ditanggung Universiti Selangor bagi membebaskan beban kewangannya.

"Untuk tujuan itu, audit semula terpaksa dibuat kerana Unisel terhutang dengan bank," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, Isnin.

Abdul Khalid diminta mengulas pendedahan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar pada Ahad mengenai kerugian itu bagi tempoh tiga tahun sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor pada 2008.

Menurut Noh, berdasarkan salinan Laporan Audit Unisel bagi 2009-2010, universiti yang ditadbir Kerajaan Negeri Selangor itu menunjukkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.63 juta pada 2008, RM13.55 juta (2009) dan RM39.68 juta pada 2010.

Abdul Khalid bagaimanapun tidak menafi atau mengakui kebenaran salinan laporan audit itu.

Beliau berkata, Noh boleh menerbitkan laporan audit itu kepada umum dan kerajaan negeri akan menggunakan saluran yang sedia ada untuk memberi penjelasan berhubung isu itu selaras dengan dasar ketelusannya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan