Tender Empangan Langat 2 Akan Dikeluarkan Dalam Masa Terdekat - Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 8 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PAGOH: Tender pembinaan Empangan Langat 2 akan dikeluarkan dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan persekutuan akan tetap meneruskan pelaksanaan projek itu walaupun tidak mendapat kelulusan perintah pembangunan daripada kerajaan Selangor demi kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Air Selangor yang dipengerusikan oleh beliau.

"Dia lulus atau tak lulus, demi kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita tidak boleh melengah-lengah.

"Dia sudah ada jadual tertentu yang mesti kita tunaikan dan kalau itu tertangguh hanya disebabkan oleh abainya kerajaan Selangor maka besok rakyat akan persoalkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini, Sabtu.

Beliau berkata kerajaan Selangor harus bertindak rasional, bukannya berdasarkan emosi atau politik tetapi atas dasar pertimbangan rakyat.

Ketika mengulas mengenai tindakan penduduk di Selangor mahu menyaman kerajaan negeri itu, Muhyiddin berkata, itu hak rakyat yang menuntut janji kerajaan pembangkang itu untuk memberikan air percuma kepada mereka, Katanya keadaan itu jelas menunjukkan bahawa rakyat negeri itu kecewa dengan kerajaan negeri yang masih gagal berbuat demikian selepas menguasai Selangor pada tahun 2008. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan