Taib Jamin Proses Pertukaran Kepimpinan Sarawak Tidak Dilaksanakan Tergesa-gesa

Diterbitkan: Sabtu, 8 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Rakyat Sarawak masih dapat menikmati keamanan, kestabilan politik dan pembangunan yang terancang sehingga kini kerana pertukaran kepimpinan kerajaan negeri tidak dilakukan dengan tergesa-gesa.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, sejak Sarawak menyertai Malaysia 49 tahun dahulu, negeri ini mempunyai lima Yang Dipertua Negeri dan empat Ketua Menteri yang membolehkan kesinambungan pembangunan dirancang dan dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan.

"Pertukaran kepimpinan tidak berjalan dengan gopoh supaya negeri kekal aman dan stabil selari dengan kehendak rakyat," katanya semasa berucap pada majlis perbarisan sempena sambutan ulang tahun ke-91 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Stadium Terbuka Miri, Sabtu.

Taib berkata, sejak diberi kepercayaan rakyat dengan kemenangan lebih dua pertiga pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada tahun lepas, kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri terus melaksanakan janji yang dibuat.

Beliau berkata, sebelum pilihan raya antara janji yang dibuat ialah menambah pelaburan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) dan setakat ini lebih 7,000 hektar persegi tanah disediakan bagi tujuan mewujudkan estet perindustrian mini di kawasan Score.

Beliau berkata, turut bakal dilaksanakan ialah projek pembangunan di Baram yang menjadi tapak pembinaan projek hidro elektrik tidak lama lagi.

"Perubahan telah berlaku tetapi berlaku dengan teratur dengan janji yang boleh dilaksanakan," katanya sambil menambah perubahan yang dilakukan oleh kerajaan negeri dibuktikan dengan fakta bukan dengan janji kosong.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berkata, PBB kini sedang membawa masuk golongan muda berpendidikan tinggi untuk menyertai parti tersebut sebagai satu proses pertukaran kepimpinan pada masa depan.

Katanya, Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri yang bakal memimpin Sarawak pada masa akan datang tidak akan menghadapi masalah besar kerana proses pertukaran kepimpinan akan dilaksanakan dengan lebih teratur.

Lebih 10,000 berhimpun di Stadium Terbuka Miri dengan 91 kontinjen mengikut umur Yang Dipertua Negeri mengambil bahagian dalam sambutan pada tahun ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan