PM Hargai Jasa & Pengorbanan Pasukan Tentera dan Polis

Diterbitkan: Sabtu, 8 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan penghargaan kepada angkatan tentera dan polis atas perkhidmatan mereka membantu mengekalkan keamanan di negara ini dan juga negara-negara lain.

Beliau berkata perkhidmatan mereka tetap merupakan suatu yang tidak ternilai kepada Malaysia dan rakyat negara ini.

"Sempena meraikan satu lagi tahun kemerdekaan negara kita, saya ingin memanjangkan ucapan terima kasih saya kepada semua rakyat Malaysia yang telah berbakti dalam Angkatan Tentera dan Polis yang bukan sahaja telah mengekalkan keamanan tetapi juga menghulurkan bantuan dalam perkara-perkara kehidupan harian rakyat seperti pembinaan jalan raya di kawasan luar bandar melalui projek Jiwa Murni.

"Sememangnya tanggungjawab yang anda pikul benar-benar merupakan satu tugas yang amat mulia dan ingatlah bahawa anda sentiasa berada dalam fikiran kami semua sewaktu anda berkhidmat untuk negara," katanya dalam entri terbaharu dalam www.1malaysia.com.

Beliau berkata sebagai satu pengiktirafan atas pengorbanan mereka, kerajaan melancarkan kad '1Malaysia Privilege', sempena sambutan Hari Pahlawan, bagi anggota polis dan tentera yang membolehkan mereka menikmati diskaun bagi produk-produk dan perkhidmatan daripada 20 syarikat yang mengambil bahagian dalam program itu. "Mungkin sumbangan ini dilihat kecil jika dibandingkan dengan jasa dan pengorbanan mereka kepada negara namun saya merasakan sekurang-kurangnya kad ini akan dapat meringankan bebanan perbelanjaan harian mereka," katanya.

Najib berkata Angkatan Tentera mula ditubuhkan atas keperluan yang wujud sewaktu zaman penjajahan British menentang komunis dan sejak itu kehadiran mereka adalah penting dalam melindungi kepentingan Malaysia serta rakyat dan juga negara-negara lain.

Beliau berkata misi luar negara Angkatan Tentera Malaysia yang pertama adalah operasi keamanan di Republik Congo dan sehingga kini, Malaysia menyumbang lebih daripada 20,000 anggota tentera serta 1,000 anggota polis bagi misi-misi keamanan di seluruh dunia dan dalam sepanjang tempoh itu 28 orang terkorban sewaktu menjalankan tugas mereka.

Katanya Angkatan Tentera Malaysia mendapat reputasi yang tinggi bagi sumbangan mereka di Somalia, Bosnia, Kemboja, Timor Leste, Sahara Barat, Namibia dan Lubnan.

"Dan kita terus memberikan sumbangan di negara-negara lain. Pada 2010, Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kontinjen Malaysia (MALCON ISAF) tiba di Afghanistan bagi misi kemanusiaan, menyediakan bantuan kesihatan, pendidikan dan perubatan dalam keadaan negara itu yang sedang bergolak dalam peperangan. "Baru-baru ini, Pasukan Bersenjata kita aktif di Lubnan, dengan Malcoy 8, sebuah pasukan yang dianggotai 200 perajurit kita yang terbaik dan 540 anggota Batalion Malaysia (Malbatt 4), Lubnan merupakan misi keamanan kita yang terbesar setakat ini, satu fakta yang tidak terlepas dari pandangan dunia. Ianya juga adalah bukti komitmen Malaysia terhadap masyarakat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan terus meningkatkan kapasiti dan keupayaan pasukan polis agar mereka dapat menjalankan tugas mereka dengan cekap dan berkesan. "Kami telah mendedikasikan tahun-tahun kebelakangan ini untuk perkara itu," katanya. "Perubahan dan perkembangan dalam keperluan masyarakat mengharuskan pasukan polis untuk berubah bagi memenuhi keperluan-keperluan baru dan memastikan keselamatan awam terjamin," katanya.

Beliau berkata kemudahan dan pusat arahan dirombak agar dapat memantau keadaan dengan lebih berkesan selain meningkatkan usaha untuk mengurangkan tempoh tindak balas. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan