Najib Berlepas Ke Russia Ketuai Delegasi Malaysia Ke Mesyuarat Apec

Diterbitkan: Jumaat, 7 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Russia pada Jumaat untuk mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat pemimpin-pemimpin ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) ke-20 pada 8 dan 9 September.

Beliau berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.30 pagi dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.

Sidang kemuncak tahunan bertema 'Integrate to Grow, Innovate to Prosper' itu yang dihadiri ketua negara dan kerajaan dari 21 ekonomi rantau Asia Pasifik, akan didahului dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Apec (AMM) ke-24 pada 5 dan 6 September dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Apec pada 2 dan 3 September.

Najib yang juga Menteri Kewangan akan membincangkan pelbagai isu membabitkan liberalisasi pelaburan dan perdagangan serta integrasi ekonomi serantau, pengukuhan jaminan makanan, mewujudkan rangkaian bekalan berdaya saing dan kerjasama pemupukan pertumbuhan inovatif.

Perdana Menteri juga akan meneroka idea-idea baharu dan inovatif bagi meningkatkan lagi kerjasama dalam kalangan 21 ekonomi Apec.

Beliau juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin Apec termasuk Presiden Russia Vladimir Putin selaku tuan rumah mesyuarat.

Apec, forum yang diwujudkan pada 1989 bagi 21 anggota ekonomi Lingkaran Pasifik untuk membincangkan isu-isu mengenai kerjasama ekonomi serantau serta perdagangan dan pelaburan, menyumbang 55 peratus keluaran dalam negara kasar dunia dan 49 peratus perdagangan global. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan