Jentera Umno Bahagian Digesa Proaktif Daftar Ahli

Diterbitkan: Jumaat, 7 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Semua jentera Umno di peringkat bahagian diminta bergerak lebih proaktif dalam meningkatkan bilangan anggota parti dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih sebelum akhir bulan ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah itu adalah bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Kami bukan setakat mahu mereka menjadi ahli Umno tetapi mahu mereka mendaftar sebagai pengundi yang akan menentukan kejayaan parti pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau setakat jadi ahli pada namanya tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi, itu (yang) jadi masalah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dan anggota Umno Bahagian Pengerang, di sini Jumaat.

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keahlian dan Daftar Pemilih Umno, berkata usaha mendaftar pengundi baru itu juga termasuk proses pemutihan seperti mengemaskini ahli Umno yang masih hidup dan layak mengundi.

Perkara itu hanya mampu dijalankan Umno peringkat bahagian kerana mereka mempunyai maklumat terkini, katanya.

Sementara itu Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata kementerian akan mengendalikan semua perkara berkaitan masyarakat luar bandar yang terlibat dengan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang.

Beliau berkata ia termasuk memastikan mereka tidak terpinggir dengan pembangunan yang dijalankan itu.

"Sebagai menteri kampung, InsyaAllah saya mahu memastikan penyertaan orang kampung dan mendapat manfaat tidak kira sama ada menerusi peluang perniagaan atau pekerjaan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan