Polis Serah Laporan Siasatan Penuh Himpunan Janji Demokrasi Kepada Peguam Negara Esok

Diterbitkan: Khamis, 6 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis akan menghantar laporan siasatan penuh berhubung tindakan peserta Himpunan Janji Demokrasi pada sambutan Ambang Merdeka malam Khamis lepas kepada Pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya esok.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Kuala Lumpur ACP Aziz Zakaria berkata laporan itu merangkumi tindakan peserta perhimpunan yang membawa bendera 'Sang Saka Malaya', memijak dan menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara.

"Laporan penuh itu dihantar untuk tindakan selanjutnya oleh Pejabat Peguam Negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau juga berkata tiga lagi penganjur bersama perhimpunan itu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan selepas dua penganjur utama memberi keterangan Khamis.

Katanya, mereka ialah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua dan Hishamuddin Md Rais.

"Polis telah menghantar notis kepada mereka mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah, dan mereka juga telah bersetuju untuk hadir memberi keterangan kerana didakwa menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran, namun tarikh sebenar belum diputuskan," katanya.

Pada Khamis, polis merakam percakapan Maria Chin Abdullah dan Sasterawan Negara A. Samad Said di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Mengulas permohonan maaf secara terbuka oleh seorang penuntut kolej swasta di Cheras semalam, yang ditahan kerana menunjuk punggung di khalayak ramai dalam insiden itu, Aziz berkata polis tetap akan mengambil tindakan terhadap pelajar tersebut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Tindakan mereka yang terlibat adalah perbuatan yang biadap, dan ia menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati masyarakat menyebabkan lebih 250 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung perilaku mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan