PM Sedia Berjumpa Ayah Pelajar Tunjuk Punggung

Diterbitkan: Khamis, 6 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia berjumpa dengan ayah kepada seorang remaja yang dikaitkan dengan insiden menghina pemimpin ketika perhimpunan Janji Demokrasi semasa sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur, 30 Ogos lepas.

"Tidak ada masalah, saya terima sesiapapun tetapi prinsipnya proses undang-undang tak boleh dikompromi dan mesti diteruskan. Soal dia nak berjumpa dengan saya tu boleh diatur bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Hari Raya Aifilfitri di Kampung Tasek Tok Lebai, Besut.

Media pada Khamis melaporkan permohonan maaf ayah kepada seorang pelajar lelaki kolej swasta yang menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara pada malam kejadian itu. Ayah pelajar itu turut menyatakan hasrat bertemu Najib bagi meminta maaf secara peribadi.

Jelas Perdana Menteri, semua rakyat Malaysia perlu menghormati kedaulatan undang-undang negara.

Pihak pengurusan sebuah kolej swasta di Cheras dilapor mengambil keputusan memberhentikan pelajar itu berikutan insiden tunjuk punggung terbabit.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan sama ada pelajar itu boleh merayu untuk menyambung semula pengajiannya terpulang kepada budi bicara kolej berkenaan.

Sebelum itu dalam ucapannya pada majlis itu, Perdana Menteri dalam menyentuh tindakan tidak bertamadun sekumpulan peserta perhimpunan "Janji Demokrasi" dengan memijak gambar pemimpin serta menunjukkan punggung, berkata pemikiran seperti itu yang merosakkan perjuangan untuk membina sebuah negara bangsa yang berjaya.

"Sebuah negara boleh merdeka, tetapi untuk membina sebuah negara bangsa mesti ada ikatannya, ada nilai-nilai utamanya dan mestilah bersandar kepada ideologi kebangsaan kita, iaitu Rukun Negara.

"Tetapi bila baru-baru ini pada sambutan Hari Merdeka yang ditaja pembangkang, di mana letaknya nilai seseorang itu apabila gambar pemimpin dipijak, seluar dilondehkan, di mana nilai seseorang itu apabila bendera kita mahu ditukar kepada bendera Sang Saka yang baru.

"Kalau inilah caranya, Raja tidak dihormati, Perlembagaan tidak dijulang, undang-undang tidak dipedulikan, apa akan jadi pada masa depan," tegasnya.

Perdana Menteri juga menegaskan pilihan raya umum ke 13 tidak lama lagi disifatkan "bukan sebarang pilihan raya" kerana ia bakal menentukan masa depan negara ini.

Oleh itu, beliau berkata mandat kukuh perlu terus diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan meletakkan pemimpin-pemimpin yang betul di tempat sewajarnya.

Perdana menteri berharap seluruh jentera BN di Terengganu menumpukan usaha kepada memenangi pilihan raya umum akan datang dengan tidak membiarkan unsur- unsur luar dicampur-aduk di dalam pertimbangan mereka.

Najib berkata sekarang bukan soal pemilihan dalam bahagian, sebaliknya soal sama ada Umno dan BN akan mampu untuk kekal berkuasa atau sebaliknya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan