Jangan Gadai Masa Depan Negara Dengan Beri Peluang Kepada Pembangkang - Dr Subramaniam

Diterbitkan: Khamis, 6 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Rakyat diingatkan supaya tidak sesekali menggadaikan masa depan negara dengan cuba memberi peluang atau menguji keupayaan pembangkang memerintah negara.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam ketika memberikan ingatan itu berkata sebarang keputusan salah pada pilihan raya umum ke-13 nanti pastinya akan memberi kesan mendalam kepada rakyat terutamanya generasi akan datang.

Justeru, katanya rakyat perlu memastikan keputusan yang dibuat akan membolehkan kerajaan sedia ada meneruskan segala agenda pembangunan menuju ke arah negara maju selain mengekalkan kestabilan dan keamanan negara.

"Jangan membazirkan peluang ini dan membuat keputusan yang salah. Lepas itu kita akan menyesal dengan keputusan itu. Ia seolah-olah menggadaikan masa depan generasi dan warisan kita akan datang," katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Sumber Manusia di sini Khamis.

Dr Subramanian yang juga Timbalan Presiden MIC berkata keupayaan kerajaan Barisan Nasional(BN) membawa kejayaan berterusan dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi, sosial dan politik terbukti di seluruh dunia.

Menurutnya, Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah lebih 5 peratus dalam separuh tahun pertama walaupun kebanyakan negara terutamanya negara Eropah masih dibelenggu masalah ekonomi yang tidak menentu.

"Di negara lain kadar pengangguran lebih 40 peratus, tetapi di Malaysia ia masih kurang dari 3 peratus. Ini tanda-tanda yang menunjukkan kita dalam satu keadaan yang baik," katanya.

Beliau berkata tidak ada negara yang unik dan istimewa seperti Malaysia yang memelihara hubungan persaudaraan antara pelbagai kaum dan agama.

"Saya menteri keturunan agama Hindu berdiri di depan anda dalam majlis Hari Raya Aidilfitri dengan semangat persaudaraan baik. Di kawasan saya Segamat, saya pergi ke setiap masjid sepanjang hari raya.

"Walaupun tak masuk di dalam masjid tetapi di luar perkarangan masjid kita adakan pelbagai majlis. Ini semua cuma di Malaysia sahaja, bukan negara-negara lain," kata Dr Subramaniam yang merupakan anggota Parlimen Segamat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan