Hubungan Erat Malaysia-Indonesia Akan Terus Dipupuk - Rais

Diterbitkan: Khamis, 6 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia yang terjalin sejak sekian lama melalui penyatuan konsep nusantara akan terus dipupuk secara bersama dalam semangat kasih sayang, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata melalui badan baru yang dinamakan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI), lebih banyak program termasuk dalam bidang bahasa, budaya dan sejarah dapat dilaksanakan secara lebih bermakna bagi mengukuhkan lagi hubungan di peringkat rakyat kedua-dua negara.

"Kami akan berjuang dan mencari jalan bagaimana konsep kenusantaraan itu terus kita pupuk bersama dan dijayakan demi bahasa kita yang satu, demi kebudayaan kita yang menyeluruh, dan mencakupi antara satu dengan lain, demi sejarah kita yang bersama dan seterusnya kepentingan-kepentingan yang lain secara mutual dan saling sayang menyayangi," katanya.

Dr Rais, yang juga pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia berucap pada majlis jamuan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55, di Hotel Shangri-La di sini pada Rabu malam.

Seramai 1,000 orang tetamu termasuk beberapa menteri kabinet Indonesia, pemimpin dan anggota Parlimen Indonesia serta diplomat asing dan ahli korporat menghadiri acara itu.

Rais turut mengucapkan tahniah kepada Indonesia di atas sambutan Hari Kemerdekaannya pada 17 Ogos yang lalu.

"Penzahiran kasih sayang antara kami yang datang dari Kuala Lumpur dengan rakan-rakan di sini, saya mengucapkan selamat kepada Indonesia, khasnya kepada rakan-rakan Menteri yang turut hadir mahupun yang tidak dapat atau tidak sempat hadir," katanya.

Menteri itu juga mengucapkan tahniah kepada Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan semua pemimpin dari kedua-dua negara yang berjasa kepada nusa dan tanah air.

Pada majlis sama, Ketua Majlis Pemesyuaratan Rakyat (MPR) Indonesia Taufik Kiemas mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-55 dan berharap hubungan baik antara kedua-dua negara selama ini akan bertambah baik di masa akan datang.

"Mudah-mudahan kalau ada sesuatu masalah, kita boleh berunding dengan sebaik-baiknya," katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata kehadiran para pemimpin Indonesia dari pelbagai peringkat pada jamuan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia di sini melambangkan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

Hubungan baik itu akan terus dipelihara menerusi pelbagai usaha terutamanya tindakan penyelesaian isu-isu dua hala agar ia tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak sehingga mengganggu hubungan antara kedua-dua negara.

Wujudnya pelbagai badan seperti Eminent Persons Group, persatuan persahabatan Malaysia Indonesia dan yang terbaru YIRMI boleh membantu merapatkan lagi hubungan terutamanya di peringkat rakyat dengan rakyat kedua-dua negara, kata beliau.

Rais ialah pengasas YIRMI, yang ditubuhkan dengan tujuan meningkatkan dan mengekalkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara rakyat Malaysia dan Indonesia melalui pelbagai bidang termasuk seni budaya warisan, penerangan, kemasayarakatan, ekonomi, pelajaran dan bahasa, dalam usaha memantapkan citra budaya dunia Melayu di Nusantara. Acara jamuan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55 itu bukan sekadar menghidangkan para tetamu dari Indonesia dan tetamu asing dengan juadah makanan Malaysia, ia turut menjadi medan untuk mempromosi beberapa produk Malaysia seperti kereta nasional Proton dan batik Malaysia. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan