Harga Tiket 'Matta Fair' Naik Ke RM4, Jumlah Pengunjung Tidak Terjejas - Penganjur

Diterbitkan: Khamis, 6 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peningkatan harga tiket Pameran Matta 2012 daripada RM3 ke RM4, yang bermula esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, dijangka tidak memberi impak terhadap jumlah kedatangan pengunjung.

Malah penganjur, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menjangkakan lebih 90,000 pengunjung dengan sasaran perolehan melebihi RM100 juta sepanjang tiga hari, ekspo pelancongan itu berlangsung.

Presiden Matta Datuk Mohd Khalid Harun berkeyakinan kenaikan harga tiket itu tidak akan menjejaskan kedatangan pengunjung kerana pameran itu sememangnya dinanti-nantikan orang ramai bagi mendapatkan pakej pelancongan terbaik.

"Harga tiket terpaksa dinaikkan bagi menampung pelbagai kos termasuk kos kenaikan sewaan bangunan dan pengiklanan," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Mohd Khalid berkata sasaran perolehan melebihi RM100 juta itu mampu dicapai melalui beberapa tarikan termasuk hadiah cabutan bertuah berupa pakej pelancongan dan penerbangan serta promosi pakej besar-besaran.

Sebanyak 1,008 gerai dibuka dalam pameran kali ini, antaranya disertai syarikat pelancongan, penerbangan, hotel dan resort serta pejabat pelancongan kerajaan negeri, katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar membeli pakej pelancongan semasa pameran tersebut bagi mengelak daripada ditipu.

"Ada pihak yang menggunakan logo Matta Fair bagi mempromosikan pakej mereka di dalam internet dan di bangunan lain sedangkan mereka langsung tidak terlibat dalam pameran kita," katanya.

Mohd Khalid turut mencadangkan agar syarikat penerbangan mengiklankan harga promosi yang betul dengan memasukkan harga cukai lapangan terbang dan surcaj lain bagi mengelak pengguna terkeliru.

"Harga surcaj lebih mahal dari tiket penerbangan...pengguna seolah ditipu apabila melihat harga murah tetapi sebenarnya belum dicampur dengan surcaj itu dan ini," katanya sambil menambah Pameran Matta yang diperkenalkan sejak 1991 akan dikembangkan buat pertama kalinya ke Kuching, Sarawak, hujung tahun ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan