Tan Sri Hamzah Abu Samah - Lagenda Sukan Negara Tiada Ganti

Diterbitkan: Rabu, 5 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Tan Sri Hamzah Abu Samah
Tan Sri Hamzah Abu Samah

KUALA LUMPUR: Malaysia kehilangan tokoh sukan tersohor, Tan Sri Hamzah Abu Samah yang banyak mewarnai arena sukan tempatan serta membawa nama negara ke persada antarabangsa.

Berikutan penglibatan aktifnya di arena sukan tempatan dan antarabangsa, Allahyarham semasa hayatnya telah dilantik menjadi presiden bagi beberapa persatuan sukan tempatan dan pernah dipilih menjadi naib presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Hamzah, 88, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan pada kira-kira 3.30 petang Selasa akibat sakit tua.

Adik ipar kepada Perdana Menteri Malaysia Kedua Tun Abdul Razak Hussein dan bapa saudara kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu meninggalkan isteri, Toh Puan Sri Zainun, adik kepada Abdul Razak, serta tujuh orang anak.

Presiden seumur hidup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu, anak kelahiran Pekan, Pahang dan merupakan bekas anggota Parlimen Raub (1967-1978) dan Temerloh (1978-1980), adalah bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Gray's Inn, England pada 1953.

Bekas menteri kabinet sejak 1960-an hingga meletakkan jawatan sebagai menteri pada tahun 1980 selepas menjalani pembedahan "pintasan koronari," dan pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dari 1971-1973, Menteri Pertahanan (Ogos 1973), Menteri Perdagangan dan Industri (September 1974) dan jawatan terakhir sebagai Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara.

Sebelum itu, Allahyarham pernah bertugas sebagai Penolong Penyelia Pilihan Raya Pahang, hakim di Alor Setar, Kedah, Timbalan Pendakwa Raya Awam di Johor dan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor serta Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Semasa lawatan Ratu Elizabeth ke Malaysia pada 1972, Allahyarham telah dilantik sebagai Menteri Pengiring kepada Ratu England itu.

Allahyarham yang juga bekas Ketua Perhubungan Umno Pahang dan anggota Majlis Tertinggi Umno bukan sahaja seorang pemimpin politik, tetapi juga pemimpin pelbagai badan sukan di dalam negara serta di peringkat antarabangsa.

Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) pada tahun 1978 sehingga 1994 dan Presiden Kehormat AFC selepas itu. Selain itu pernah menjadi Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 1982-1990 dan ahli kehormat seumur hidup Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Allahyarham mengambil alih jawatan presiden MOM daripada Tun Abdul Razak pada 1976 dan berkhidmat sehingga 1998 sebelum kalah kepada penyandang sekarang, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar pada pemilihan tahun 1998, dan kemudian dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup MOM.

Selain itu, Allayarham juga pernah menjadi presiden kepada beberapa persatuan sukan tempatan seperti Persatuan Kriket Malaysia dari tahun 1969-1991, Persatuan Bolasepak Malaysia (1984-1988) dan Persatuan Taekwondo Malaysia (1987-1999). -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan