Sejarah Buktikan Peperiksaan SPM, STPM Tidak Halang PRU Diadakan

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun timbul spekulasi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak akan diadakan ketika minggu peperiksaan SPM dan STPM, sejarah membuktikan sebaliknya apabila ia pernah berlaku pada 1999.

Tarikh mengundi untuk PRU ke-10 ditetapkan 29 November pada tahun itu ketika peperiksaan SPM dijadualkan berlangsung pada 22 November hingga 10 Disember manakala STPM pada 17 November hingga 13 Disember.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Pendidikan pada waktu itu mengumumkan peperiksaan pada 29 dan 30 November ditangguhkan bagi memberi laluan kepada para guru untuk mengundi.

Peperiksaan untuk program matrikulasi turut ditangguhkan iaitu dari 11 Disember kepada 14 Disember.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pilihan raya pada masa lalu kebanyakannya diadakan pada separuh pertama tahun itu.

Selain daripada PRU pada 1999, tiada pilihan raya yang diadakan pada bulan November atau Disember.

PRU pertama pada 1959 diadakan pada 19 Ogos.

PRU seterusnya diadakan pada 25 April 1964, 10 Mei 1969, 24 Ogos 1974, 8 Julai 1978, 22 April 1982, 3 Ogos 1986, 21 Oktober 1990, 25 April 1995, 21 Mac 2004 dan 8 Mac 2008.

Pada tahun ini, peperiksaan SPRM akan diadakan pada 5 November hingga 6 Disember manakala STPM pada 19 November hingga 13 Disember.

Walaupun hak istimewa untuk membubarkan Parlimen terletak di tangan kerajaan yang memerintah, SPR akan menentukan tarikh mengundi dan penamaan calon serta tempoh berkempen, kata Wan Ahmad.

"Selepas Parlimen dibubarkan, SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya. Apabila memutuskan tarikh terutamanya untuk membuang undi, kami perlu mengambil kira beberapa faktor selain cuaca.

"Kita juga perlu ingat bahawa premis yang digunakan sebagai pusat mengundi kebanyakannya adalah sekolah-sekolah. Jadi kita tidak harus mengganggu kelas dan aktiviti persekolahan terutamanya peperiksaan," katanya.

Wan Ahmad berkata 80% pusat mengundi adalah sekolah-sekolah dan 80% pekerja pada PRU melibatkan para guru.

Musim haji tidak menjadi kekangan untuk mengadakan pilihan raya.

Pada 1964, PRU diadakan pada 25 April, dua hari selepas Hari Raya Aidiladha.

PRU pada 1986 diadakan pada 3 Ogos iaitu 13 hari sebelum Aidiladha manakala PRU 1995 berlangsung pada 25 April ketika perayaan itu diraikan pada 10 Mei.

Menurut Lembaga Tabung Haji, kumpulan pertama jemaah haji yang dianggarkan berjumlah 27,900 orang pada tahun ini akan berlepas ke Arab Saudi pada 17 September.

Waktu puncak musim haji adalah ketika Aidiladha yang diramal jatuh pada 26 Oktober ini.

Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia dijadualkan kembali semula ke tanah air pada 29 November ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan