PM, Sultan Hassanal Bolkiah Adakan Pertemuan - Berita Semasa | mStar

PM, Sultan Hassanal Bolkiah Adakan Pertemuan

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di pejabatnya di sini, bersempena Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam ke-16 selama dua hari yang bermula Isnin.

Ketibaan Sultan Hassanal Bolkiah di Kompleks Perdana Putra disambut perdana menteri pada pukul 10.55 pagi sebelum mereka ke tingkat lima untuk memulakan perbincangan.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu berkata kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang pada perundingan tahunan ini untuk menilai kemajuan kerjasama yang berjalan dan mencari potensi baharu bagi meningkatkan perkongsian yang memberi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.

Menurutnya perundingan itu merupakan acara paling penting dalam kalendar kedua-dua negara kerana ia merupakan mekanisme bagi perbincangan pelbagai isu kepentingan bersama dua hala, serantau dan antarabangsa.

Pada Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam yang ke-15 di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 12 September tahun lepas, kedua-dua pemimpin menandatangani satu perjanjian dan tiga memorandum persefahaman. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan