Perbuatan Biadab Bukan Cara Lakukan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya - SPR

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penambahbaikan proses pilihan raya tidak akan dapat dilakukan melalui perhimpunan dan perbuatan biadab sepertimana yang dilakukan oleh sekumpulan peserta perhimpunan di ibu negara baru-baru ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata banyak perkara yang akan dilaksanakan oleh suruhanjaya itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 adalah hasil perbincangan dan rundingan dengan pelbagai pihak, dan bukannya melalui perhimpunan dan perbuatan biadab, termasuk memijak gambar pemimpin negara.

"Perbuatan itu adalah perbuatan biadab, tidak bertamadun dan tidak mencerminkan budaya rakyat Malaysia yang bersopan santun.

"SPR melihat perbuatan pihak penganjur Perhimpunan Janji Bersih memijak gambar pemimpin negara dan menghina Jalur Gemilang pada perhimpunan itu bertujuan mendidik golongan muda untuk berkelakuan biadab," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perbuatan biadab peserta Perhimpunan Janji Bersih yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengibar bendera lain yang dikatakan pengganti Jalur Gemilang, pada sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka malam Khamis lepas.

Kamaruddin berkata, SPR menyambut baik langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera ke atas individu-individu yang terlibat, yang sekali gus akan memastikan tiada mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya membuat sesuatu yang boleh mencemarkan dan menjejaskan imej SPR. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan