Kelab Malam Tanpa Lesen Di KL Akan Ditutup - Saravanan

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelab malam yang beroperasi tanpa lesen di ibu kota akan ditutup, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan.

Beliau berkata didapati kira-kira 10 peratus kelab malam di sekitar ibu negara, termasuk dua di Jalan Doraisamy dan Changkat Bukit Bintang beroperasi tanpa lesen.

Selain itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan mengenakan tindakan ke atas premis hiburan yang melanggar peraturan termasuk beroperasi melebihi waktu ditetapkan, katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

"Mulai minggu ini, setiap Jumaat dan Sabtu, DBKL akan membuat tinjauan terhadap kelab-kelab malam khususnya di Jalan Doraisamy dan Changkat Bukit Bintang bagi mengelakkan berlakunya pergaduhan dan masalah lain," katanya.

Beliau berkata tindakan itu diambil berikutan kes pengawal di sebuah premis hiburan di Jalan Doraisamy mati ditembak baru-baru ini.

Dalam kejadian 26 Ogos itu, dua maut akibat tembakan yang dipercayai dilepaskan seorang daripada sekumpulan lelaki yang dikatakan marah apabila dihalang memasuki premis tersebut.

Mengulas berbeza, Saravanan berkata pihaknya akan mengkaji kaedah terbaik bagi memastikan gerai yang dibangun di sekitar Brickfields sempena sambutan Deepavali tidak mengganggu laluan orang ramai, khususnya golongan kurang upaya.

Langkah itu susulan aduan orang ramai bahawa kewujudan gerai di kawasan berkenaan setiap kali menjelang Deepavali mengundang pelbagai masalah kepada masyarakat terutama mereka yang cacat penglihatan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan