Jenazah Pelajar Maut Di Russia Tiba Di Tanah Air Khamis Ini

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jenazah kedua-dua pelajar Malaysia yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Russia pada Ahad dijangka tiba di tanah air pada Khamis ini.

Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada beliau oleh pengarah Mara di Russia, Suhaimi Zainuldin yang dibantu oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pegawai kedutaan.

"Ketika ini saya dimaklumkan bahawa urusan adalah di peringkat mendapatkan mana-mana syarikat penerbangan antarabangsa untuk membawa jenazah pulang," katanya ketika ditemui Bernama pada Selasa.

Dalam kejadian malang itu, pelajar yang terbunuh dikenal pasti sebagai Hanisah Muhd Shah, pelajar tajaan Mara dari Dungun, Terengganu; dan Adzreen Dimyati, pelajar tajaan JPA dari Putrajaya.

Penuntut itu, kedua-duanya pelajar tahun lima dari Akademi Perubatan Negeri Nishny Novgorod, sedang dalam perjalanan menaiki sebuah van dengan lima rakan lain universiti itu dari lapangan terbang Moscow ke Vladimirskaya bila kemalangan berlaku. Hanisah mati di tempat kejadian sementara Adzreen ketika dalam perjalanan ke hospital di mana mereka baru saja pulang dari Malaysia selepas cuti Hari Raya untuk memulakan semester baru.

Van yang dinaiki pelajar itu berlanggar secara berdepan dengan sebuah van lain.

Lima lagi pelajar kini dirawat di hospital yang sama. Mereka dikenal pasti sebagai Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza. Adalah difahamkan urusan bedah siasat kedua-dua jenayah telah selesai dilakukan manakala lima lagi pelajar yang cedera sedang menerima rawatan.

Ibrahim berkata keluarga kedua-dua mangsa telah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu ini (penghantaran jenazah pulang ke tanah air).

Beliau turut mengucapkan takziah kepada anggota keluarga mangsa dan meminta mereka bersabar atas kejadian itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan