Tukar Bendera Bukan Kerja AMK Tapi...

Diterbitkan: Isnin, 3 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak bertanggungjawab terhadap dakwaan cubaan menukar dan menghina Jalur Gemilang semasa ambang Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya mana-mana pihak mahu mengibar bendera merah putih yang dinamakan Sang Saka Bangsa sebagai ekspresi perkembangan sejarah negara.

"Bendera itu direka oleh Timbalan Ketua Penerangan AMK, Mohd Najwan Halimi pada 2007, ketika itu dia belum menyertai PKR. Jadi apa yang dilakukan pada tahun itu tak harus dikaitkan dengan PKR.

"Saya percaya itu adalah pandangan dan manifestasi beliau sebagai seorang anak muda yang ingin membuat penilaian sejarah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.

Mengulas mengenai pendirian sebenar sayap PKR itu, Shamsul dengan tegas menyatakan cadangan untuk menukar bendera bukan menjadi agenda mereka.

"Apa yang penting pendirian kita jelas, kita tidak akan tukar bendera. Tapi kalau nak kibar...kita tak ada masalah.

"Kita tak boleh halang ekspresi mereka kerana apa yang dilakukan hanya berlandaskan sejarah," katanya.

Pada 30 Ogos lalu negara dikejutkan dengan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa peserta Janji Demokrasi yang mengibarkan bendera yang didakwa akan menggantikan Jalur Gemilang sekiranya pembangkang berkuasa.

Selain dikibarkan di khalayak ramai, beberapa riasalah juga diedarkan semasa sambutan ambang merdeka itu yang mengajak rakyat untuk mengatakan 'tidak' kepada Jalur Gemilang dan menyokong bender merah putih itu.

Ketika ditanya mengenai penyebaran risalah berkenaan, Shamsul bagaimanapun berdolak dalik mengenai kewujudan risalah yang turut mengandungi logo merdeka pembangkang dengan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

"Saya tak dapat salinan (risalah). Kalau ada boleh tunjuk. Saya tak tahu ada risalah yang dibuat. Apa yang saya tahu hanya gambar, bukannya risalah," katanya.

Ditanya mengenai tindakan polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat tindakan menghina Jalur Gemilang, Shamsul berkata: "Tak ada asas untuk tahan mereka.

"Kami menyokong kumpulan orang muda yang berani untuk menyatakan pendirian dan pendapat mereka berdasarkan asas sejarah yang kukuh, jangan serang mereka dengan ugutan."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan