Rakyat Malaysia Berpeluang Tatap Duke Dan Duchess Of Cambridge Di KLCC

Diterbitkan: Isnin, 3 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang menatap dari dekat wajah Duke dan Duchess of Cambridge apabila pasangan diraja yang terkenal itu melawat Taman KLCC sempena lawatan mereka dari 13 hingga 16 September ini.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone berkata tinjauan mesra di taman itu merupakan antara program Putera William dan isteri Kate Middleton pada hari kedua lawatan mereka ke Malaysia.

"Orang ramai akan berpeluang melihat pasangan diraja itu ketika mereka menikmati kepelbagaian budaya Malaysia di pekarangan Menara Berkembar Petronas," katanya pada sidang media, di sini Isnin.

Katanya rakyat Malaysia juga akan menjadi audiens pertama di luar Britain mendengar ucapan awam Duchess of Cambridge.

"Beliau akan menyampaikan ucapan ketika melawat Hospis Malaysia. Ini kali kedua Duchess berucap dalam khalayak dan pertama di luar UK (United Kingdom)," katanya.

Featherstone berkata Putera William pula akan menyampaikan ucapan mengenai kepentingan hubungan UK-Malaysia pada jamuan tengah hari yang dianjur Dewan Perniagaan British Malaysia.

Selain itu, pasangan diraja tersebut dijadual menghadiri jamuan rasmi di Istana Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta jamuan tengah hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana pada hari pertama lawatan mereka.

"Pasangan diraja itu akan berlepas ke Sabah pada hari kedua selepas Jamuan Teh Jubli Intan di kediaman Pesuruhjaya tinggi di sini," katanya.

Di Sabah, pasangan berkenaan dijadual melawat Lembah Danum bagi menyaksikan sendiri usaha pemuliharaan yang dilakukan persatuan terbabit.

Lawatan ke Malaysia merupakan sebahagian program jelajah pasangan diraja berkenaan sempena sambutan jubli intan, menandakan 60 tahun pemerintahan Ratu Elizabeth.

Selepas Malaysia, Putera William dan Kate akan berangkat ke Kepulauan Solomon sebelum meneruskan lawatan ke Pulau Tuvalu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan